Aliran trafik di sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dilaporkan bergerak perlahan di beberapa kawasan setakat 10 malam ini.

Jurucakap Pusat Kawalan Trafik PLUS Expressway Bhd berkata aliran trafik mula perlahan dari Nilai menuju ke Seremban, Ipoh Utara ke kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Perak, Tapah ke Gopeng dan R&R Kuala Kangsar ke Changkat Jering.

"Trafik pada malam ini bertambah dan bergerak perlahan ekoran orang ramai pulang ke kampung sempena sambutan Hari Raya Aidiladha.

"Kami menjangkakan trafik akan kembali lancar pada pukul 1 pagi ke atas," katanya ketika dihubungi Bernama malam ini.

Sementara itu, jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) melaporkan aliran trafik mula perlahan selepas Plaza Tol Gombak ke Genting Sempah dan Bukit Tinggi ke Plaza Tol Bentong.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 atau talian LLM di 1800-88-7752.