KUALA LUMPUR: Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama lancar malam ini dan tiada sebarang kesesakan lalu lintas dilaporkan menjelang sambutan Hari Krismas esok.

Setakat 10 malam ini, jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata keadaan lalu lintas di Plaza Tol Jalan Duta (arah utara), Plaza Tol Sungai Besi (menuju selatan) dan Plaza Tol Gombak (arah Pantai Timur) terkawal dan tiada peningkatan jumlah kenderaan.

"Aliran trafik Lebuhraya KL-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1 serta LPT2 lancar setakat ini. Begitu juga aliran trafik di Tol Bentong, tiada sebarang peningkatan jumlah kenderaan," katanya kepada Bernama malam ini.

Selain itu, menurutnya terdapat kemalangan di Kilometer (KM) 149.3 arah selatan dari Juru ke Bukit Tambun di Pulau Pinang, namun tiada lorong terhalang dan trafik lancar.

Akaun rasmi Twitter PLUS Trafik pula memaklumkan aliran trafik di Lebuhraya Utara-Selatan bergerak lancar, namun terdapat beberapa lokasi di Pulau Pinang dan Perak perlahan disebabkan kemalangan.

"Maklumat awal terdapat kemalangan di KM123.0 arah utara dari Sungai Dua ke Bertam. Kemalangan juga berlaku di KM 325.3 arah utara dari Tapah ke Gopeng. Tiada lorong terhalang. Trafik terkawal," menurut hantaran itu.

-- BERNAMA