KUALA LUMPUR: Aliran trafik bergerak perlahan dan sesak di beberapa lebuh raya utama setakat 6 petang ini, berikutan pertambahan kenderaan susulan cuti persekolahan dan Hari Kebangsaan yang bermula hujung minggu ini.
Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata bagi pergerakan menghala ke utara, trafik dikesan bergerak perlahan dari Sungai Buloh menuju ke Bukit Beruntung, Bukit Tagar ke Lembah Beringin, serta Sungkai ke Simpang Pulai.
Kesesakan ke utara dilaporkan bermula dari Changkat Jering ke Taiping Utara, Bukit Merah ke Bandar Baharu dan Permatang Pauh menuju ke Bertam.
"Sementara itu, bagi pergerakan ke arah selatan, aliran trafik dilaporkan sesak bermula dari Bangi menuju ke Southville City, serta bersambung dari Nilai Utara sehingga ke Pedas Linggi.
"Bagi laluan menghala ke Pantai Timur pula, pergerakan kenderaan dikesan perlahan bermula dari Plaza Tol Gombak menuju ke Genting Sempah dan dari Lentang menghala ke Bentong, selain sedikit kesesakan dari Lanchang ke Temerloh berikutan kerja-kerja membaiki tebatan banjir," katanya.
Trend kesesakan itu mirip cuti perayaan ekoran jumlah kenderaan mencatatkan peningkatan drastik sejak petang semalam dan awal pagi tadi.
Menurut jurucakap LLM, aliran trafik tinggi dan perlahan ini dijangka berterusan sehingga lewat malam ini berikutan orang ramai mengambil peluang bercuti dan pulang ke kampung.
Sementara itu, aliran trafik di Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) dilaporkan masih terkawal dan lancar di kedua-dua arah setakat ini.
Sehubungan dengan itu, LLM menasihatkan pengguna lebuh raya supaya merancang perjalanan masing-masing sebaiknya berikutan tempoh pemanduan dijangka memakan masa yang lebih panjang.
Orang ramai juga dinasihatkan agar memastikan kenderaan diselenggara dengan baik sebelum memulakan perjalanan, dan sentiasa memantau status trafik semasa menerusi platform media sosial rasmi LLM atau media berkaitan.
-- BERNAMA