KUCHING: Alunan muzik Sape di Tebingan Sungai Kuching malam ini berjaya mencatat rekod baharu dalam Malaysia Book of Records dengan penyertaan 257 pemain sempena malam penutup program Citrawarna Keluarga Malaysia 2022.

Sape yang juga disebut sampe' merupakan alat muzik kaum Orang Ulu iaitu Kenyah dan Kayan.

Persembahan konsert dengan tema 'Rentak Kamek Urang' yang berlangsung selama lima minit itu diketuai dua ikon sape iaitu Jerry Kamit dan Elizabeth Bungan.

Kenyataan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) memaklumkan selain untuk mencatat rekod dalam MBOR, konsert itu bertujuan menunjukkan keunikan dan keistimewaan kesenian di Malaysia sebagai daya tarikan kepada pengunjung luar.

"Penganjuran konsert sape dengan berkonsepkan Keluarga Malaysia adalah melihat kepada gabungan kepelbagaian kaum dan etnik di Sarawak.

"Justeru itu, kepelbagaian ini perlu diharmonikan dalam satu hubungan kesatuan antara JKKN dengan badan bukan kerajaan seni budaya khususnya Persatuan Anak Seni Sape Kuching (PUSAK)," menurut kenyataan itu.

Turut hadir Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah serta Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Saraya Arbi.

Program Citrawarna Keluarga Malaysia 2022, yang berlangsung empat hari bermula 24 hingga 27 Feb, menampilkan persembahan penuh warna-warni dengan tema kesenian serta kebudayaan, diadakan di atas pentas terapung di Sungai Sarawak.

Selain itu, ia bertujuan mempromosi Kuching sebagai Bandar Raya Kreatif di peringkat Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) di bawah kategori gastronomi - World Craft City.

-- BERNAMA