KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada di beberapa kawasan di Sarawak hingga esok, manakala di Johor bermula Sabtu hingga Ahad.

Menurut jabatan itu hujan berterusan dijangka melanda Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei dan Mukah di Sarawak, manakala di Johor melibatkan kawasan Kluang, Mersing, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru.

Amaran hujan berterusan tahap waspada dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan hujan atau ribut petir sedang atau dijangka berlaku melebihi enam jam di sesuatu kawasan.

Dalam kenyataan berasingan, MetMalaysia juga meramalkan cuaca signifikan dengan luruan angin timuran berlaku hingga 16 Jan ini.

Keadaan itu menyebabkan peningkatan kelembapan yang berpotensi membawa hujan berterusan di Sarawak, timur Sabah dan selatan Semenanjung, selain angin kencang dan laut bergelora di Laut China Selatan dalam tempoh berkenaan.

Pada masa sama, ribut petir berserta hujan lebat dan angin kencang berpotensi berlaku pada sebelah petang hingga ke malam di negeri-negeri lain.

Orang awam dinasihatkan untuk sentiasa merujuk laman sesawang www.met.gov.my dan media sosial rasmi MetMalaysia atau memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih.

-- BERNAMA