KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di lima negeri serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan sehingga 12 tengah malam ini.
MetMalaysia menerusi kenyataan hari ini memaklumkan cuaca buruk itu dijangka melanda seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan, selain beberapa daerah di Pahang iaitu Raub, Bentong, Temerloh, Maran, Bera, Pekan dan Rompin.
Di Selangor, kawasan yang dijangka terjejas ialah Hulu Selangor, Gombak, Petaling dan Hulu Langat, manakala di Johor membabitkan Batu Pahat dan Pontian.
Di Sabah, keadaan cuaca sama diramalkan berlaku di kawasan Pedalaman meliputi Tenom, Kuala Penyu, Beaufort, Keningau dan Tambunan, selain Ranau di Pantai Barat, Lahad Datu di Tawau serta Tongod, Telupid dan Kinabatangan di Sandakan.
Sementara itu, di Sarawak, kawasan yang dijangka terjejas ialah Serian, Sri Aman dan Betong, selain Pakan dan Julau di Sarikei, Kanowit di Sibu, Bintulu dan Sebauh di Bintulu, serta Miri dan Limbang.
-- BERNAMA