MENGHAPUSKAN kemudaratan berpunca daripada tembakau adalah sasaran utama kerajaan sejak dahulu melalui pelbagai kempen yang dilaksanakan dalam masyarakat.

Namun, semuanya hanya membuahkan hasil yang minimum berbanding usaha yang dilakukan sementara generasi perokok baharu terus muncul dengan jumlah perokok di Malaysia pada 2023 dianggarkan seramai lima juta orang.

Program intervensi oleh Kerajaan tidak begitu berjaya berdasarkan rekod pada 2019. Dalam tempoh tujuh tahun, 73,826 perokok menyertai program berhenti merokok dan hanya 16,930 atau 23 peratus berjaya berhenti selepas enam bulan.

Beberapa negara lain sudah mengambil langkah bagi mengurangkan kadar perokok atau sekurang-kurangnya menyediakan pilihan kepada mereka untuk beralih kepada sesuatu yang lebih rendah risikonya.

Selain United Kingdom dan New Zealand, Jepun adalah salah satu negara yang menyaksikan penjualan rokok konvensional dibakar mencatatkan penurunan ketara selepas produk alternatif seperti produk tembakau dipanaskan (HTP) diperkenalkan.

Tembakau yang dibakar seperti rokok mampu mencecah sehingga 850 darjah Celsius dan membebaskan campuran lebih 6,000 kimia serta partikel karsinogenik yang menjadi punca kepada pelbagai penyakit.

Sementara itu, HTP pula hanya membebaskan wap kerana suhunya yang dikawal dan tidak mencapai tahap pembakaran sekali gus dapat mengurangkan pembebasan pelbagai kimia dan partikel karsinogenik.

Menurut Pengarah (Pulmonologi), Institut Paru-Paru dan Jantung Delhi, Dr Bharat Gopal, pembakaran tembakau adalah punca utama kepada masalah kanser.

''Kebanyakan bahan toksik termasuk ejen karsinogenik dibebaskan apabila berlaku pembakaran dan jika kita mampu menghapuskan pembakaran dalam proses ini, ia akan mengurangkan kemudaratan bagi pengguna sedia ada yang susah untuk menghentikan tabiat merokok,'' katanya.

Ketua Saluran Professional Global PMI, Dr Thomas McGrath pula menjelaskan kajian menunjukkan bahawa apabila suhu tembakau meningkat, tahap bahan kimia berbahaya dan berpotensi berbahaya juga meningkat.

''Sebaliknya, tahap keseluruhan bahan kimia berbahaya dan berpotensi berbahaya dapat dikurangkan dengan ketara jika ia tidak melibatkan pembakaran.

''Jadi, dalam aerosol sistem pemanasan tembakau, paras bahan kimia berbahaya dan berpotensi berbahaya ini secara purata dapat dikurangkan sebanyak 90 hingga 95 peratus berbanding asap rokok,'' katanya.

Melihat kepada pengalaman Jepun, sebelum HTP diperkenalkan di Nagoya, pada akhir 2014 yang kemudiannya dilancarkan di peringkat nasional pada 2016, purata penurunan penjualan tembakau di negara hanya 1.8 peratus setahun.

Namun dengan pengenalan HTP, penjualan rokok mencatatkan penurunan yang ketara dengan purata 9.5 peratus setiap tahun dari 2015 sehingga 2018.

Penyelidik Universiti Perubatan South Carolina dan Universiti Ottawa turut mengkaji hubung kait penurunan penjualan rokok di Jepun antara 2011 hingga 2019 dengan pengenalan HTP ke pasaran negara itu pada lewat 2015.

Berdasarkan kajian itu, mereka menyimpulkan pengenalan HTP di Jepun sejak 2016 telah menyebabkan penjualan rokok turun sebanyak 38 peratus sementara penjualan tembakau keseluruhan (gabungan antara rokok dan HTP) turun sebanyak 19 peratus.

Mungkin HTP menjadi pilihan bagi mereka yang tidak mahu berhenti merokok sukar untuk menghentikan tabiat merokok sekali gus mendorong mereka memilih alternatif dengan risiko yang lebih rendah seperti produk pengurangan kemudaratan tembakau atau THR.

Bagaimanapun, produk ini masih perlu dikawal bagi memastikan golongan muda yang tidak merokok tiada akses kepadanya.

Kaedah kawalan lain ialah dengan mengenakan cukai untuk semua produk THR dan jumlahnya perlu sepadan dengan risiko penggunaan produk berkenaan dengan meletakkan rokok sebagai perbandingan bagi produk berisiko tinggi.


Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.