Skip to main content

Malaysia

HBN 2026 perkasa belia menerusi Rakan Muda, peluang pekerjaan - Mohammed Taufiq

KUCHING, 27 April -- Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari bercakap kepada pemberita selepas menghadiri Program Kembara Inspirasi Belia Akar Umbi (KIBAR) Zon Borneo Sarawak di Kampung Semeba dekat sini, hari ini.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Mohammed Taufiq berkata, antara fokus utama HBN tahun ini ialah penciptaan peluang pekerjaan menerusi kerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia dan platform MyFutureJobs. - Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Sambutan Hari Belia Negara (HBN) 2026 bermula hari ini hingga 17 Mei bukan sahaja sebagai platform menghimpunkan belia seluruh negara, malah turut menjadi medan memperkukuh program Rakan Muda serta pembangunan kepimpinan generasi muda.

Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, ia selari dengan hasrat Kerajaan MADANI yang mahu setiap inisiatif di bawah kementeriannya mampu menggerakkan lebih sembilan juta belia di negara ini ke arah generasi yang seimbang dari aspek mental, fizikal, jasmani dan rohani.

“Kita mahu menggerakkan kekuatan, idealisme belia serta kebolehan dan kepakaran yang mereka ada untuk membentuk belia MADANI,” katanya dalam program Darah Muda terbitan Bernama TV, di sini, pada Jumaat.

Beliau berkata, sambutan bertemakan “Menggerak Belia MADANI” yang berlangsung di Sendayan, Negeri Sembilan dan dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat, mengangkat peranan belia sebagai pencorak masa depan negara.

Beliau berkata, antara fokus utama HBN tahun ini ialah penciptaan peluang pekerjaan menerusi kerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia dan platform MyFutureJobs.

“Kita sediakan ruang khas untuk majikan menjalankan temu duga secara terus dan membuka peluang pekerjaan kepada ribuan belia,” katanya.

Mohammed Taufiq berkata, HBN turut mengetengahkan segmen kepimpinan menerusi Konvensyen Belia Negara yang menghimpunkan ahli panel tempatan dan antarabangsa bagi memberi pendedahan kepada belia mengenai kepimpinan, dasar awam dan interaksi di peringkat global.

Beliau berkata, pengisian lain termasuklah program kebudayaan, muzik, inovasi digital, e-sukan serta aktiviti sukan seperti Neon Run dan sukan pickleball, bagi memastikan belia kekal aktif dan seiring perkembangan teknologi semasa termasuk kecerdasan buatan (AI).

Beliau berkata, program Rakan Muda yang diperkasakan semula Februari lepas, kini menjadi antara agenda utama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam mendekati golongan muda menerusi pendekatan berasaskan gaya hidup dan minat semasa.

“Rakan Muda adalah satu payung dan di bawahnya ada 10 gaya hidup merangkumi apa yang anak muda inginkan hari ini. Setiap bulan kita adakan program mega Rakan Muda, termasuk Rakan Bumi, Rakan Demokrasi dan Rakan Digital,” katanya.

Dalam pada itu, Mohammed Taufiq berkata, KBS turut giat memperkukuh budaya berpersatuan dalam kalangan belia menerusi pelbagai program latihan kepimpinan dan geran Sejati MADANI x Belia bernilai hingga RM100,000 kepada pertubuhan belia berdaftar bagi tujuan penjanaan ekonomi.

Beliau berkata, usaha itu penting bagi melahirkan belia yang berdikari, berdaya saing dan mampu menjana pendapatan sendiri tanpa terlalu bergantung kepada bantuan kerajaan.

“Usaha memperkasakan belia perlu dilakukan secara menyeluruh termasuk melibatkan golongan muda di luar bandar agar mereka tidak tercicir daripada arus pembangunan negara,” katanya.

--  BERNAMA

Must Watch Video