ALOR SETAR: Sebuah ambulans yang membawa seorang pesakit disyaki positif COVID-19 terbalik selepas kemalangan dengan sebuah kenderaan jenis Proton Exora di lampu isyarat Plaza Tol Utara, Jalan Langgar, pada Jumaat.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan itu pada jam 5.55 petang.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar yang diketuai Abdul Jadi Abdul Rahman tiba di lokasi jam 5.57 petang.

"Ambulans itu membawa lima orang termasuk dari Pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan seorang daripadanya pesakit disyaki positif COVID-19.

"Dua mangsa dalam kereta Proton Exora itu yang mana seorang daripadanya mangsa lelaki berusia 40-an cedera ringan (sakit dada) manakala mangsa wanita berusia 30-an dalam kereta Proton Exora itu cedera ringan di bahu," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohamadul Ehsan berkata, bagaimanapun pihaknya tidak mempunyai maklumat berkaitan pesakit disyaki positif COVID-19 berkenaan.

Beliau berkata, operasi disertai 10 anggota dan dua jentera serta sebuah motosikal RIM dari BBP Alor Setar.

"Tindakan komander operasi memberi rawatan awal kepada pemandu dan penumpang Exora dan menghantar mangsa terbabit ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) menaiki dua buah ambulan KKM untuk rawatan lanjut.

"Bagaimanapun pasukan KKM di dalam ambulan hanya mengalami cedera ringan sahaja dan tiada mangsa dilaporkan tersepit," katanya.

Mohamadul Ehsan berkata, operasi tamat pada jam 6.46 petang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir mengesahkan menerima laporan berhubung kemalangan itu.

Bagaimanapun katanya, maklumat lanjut berhubung kemalangan itu akan dimaklumkan kemudian.

Tambahnya, pihak polis juga sedang menyiasat punca kejadian.