MALAYSIA
Ambulans sementara legakan penduduk Felda Gunung Besout

Penduduk Felda Gunung Besout terima ambulans sementara hasil petisyen, namun terus usaha mohon ambulans kekal demi keselamatan penduduk. - Foto penduduk
KUALA LUMPUR: Penduduk Felda Gunung Besout menarik nafas lega apabila penantian untuk mendapatkan sebuah ambulans hampir tiga tahun telah selesai.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Ambulans Felda Gunung Besout, Mohamad Amirruddin Majid, 46, merakamkan penghargaan kepada pihak berkaitan atas pemberian sebuah ambulans sementara kepada warga Felda.
Tambah beliau, jawatankuasa akan terus berusaha memohon ambulans kekal di Klinik Kesihatan Felda itu.
“Walaupun ambulans sementara telah diberikan, jawatankuasa akan terus berusaha untuk memastikan ambulans kekal disediakan secara tetap demi keselamatan dan kesejahteraan lebih 10,000 penduduk di Gugusan Felda Besout,” katanya.Menurut Amirruddin, ambulans tersebut merupakan unit pinjaman rasmi daripada Klinik Kesihatan Tanjung Malim selepas ambulans asal disahkan tidak boleh dibaiki sejak 2022.
Tambah beliau, Exco Kesihatan Negeri Perak, Exco Kesihatan, Sumber Manusia, Integrasi Nasional dan Hal Ehwal Masyarakat India, A. Sivanesan turut memperuntukkan RM25,000 bagi tujuan baik pulih ambulans tersebut sekiranya berlaku kerosakan.
Pada 1 Jun, jawatankuasa bertindak telah berjaya mendapatkan lebih 2,000 tandatangan secara fizikal dan dalam talian bagi menyuarakan petisyen penduduk menuntut sebuah ambulans.
“Hasil kempen komuniti dan lebih 2,000 tandatangan yang dikumpulkan sejak 1 Jun 2025,sebuah ambulans sementara telah diserahkan kepada Klinik Kesihatan Gunung Besout sebagai penyelesaian segera oleh kerajaan negeri,” katanya.
Pada 13 Jun, Astro AWANI melaporkan penduduk Felda berhasrat untuk menyerahkan petisyen rayuan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mendapatkan sebuah ambulans.
Felda Gunung Besout merupakan antara kawasan luar bandar yang terletak jauh dari hospital utama — lebih 47 kilometer (km) ke Hospital Tapah dan lebih 60km ke Hospital Teluk Intan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami