PUTRAJAYA: Malaysia menerima geran RM1.1 juta bagi kerja pemuliharaan Tugu Negara sempena ulang tahun ke-70 kemerdekaan tahun depan.
Peruntukan itu disalurkan menerusi Dana Duta Besar Amerika Syarikat bagi Pemeliharaan Budaya (AFCP) yang merupakan sebahagian daripada Inisiatif Warisan Amerika Syarikat dan Malaysia.
Kerja pemuliharaan itu akan dilaksanakan selama 12 bulan dan dijangka selesai sebelum sambutan Hari Kebangsaan tahun depan.
Proses itu membabitkan kerjasama pakar konservasi Taman Negara Amerika Syarikat dengan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Jabatan Warisan Negara.
Penolong Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) bagi Hal Ehwal Pendidikan dan Kebudayaan, Cate Dillon berkata, geran itu diberikan sempena sambutan ulang tahun ke-250 kemerdekaan Amerika Syarikat yang bertujuan memelihara Tugu Negara untuk generasi akan datang.
“Amerika Syarikat berbangga untuk melancarkan kerjasama ini bersama Malaysia bagi memelihara warisan bersama serta memastikan keutuhan simbol penuh makna Tugu Negara.
“Hubungan yang kukuh antara rakyat kedua-dua negara menjadi asas kepada kerjasama lebih erat. Hubungan sebegini memerlukan masa untuk dibina. Maka, program dana seperti ini amat penting.
“Sejak 2001, dana ini telah menyokong lebih 1,100 projek pemeliharaan di 130 negara. Namun, yang paling penting adalah simbolik jalinan hasil daripada projek ini,” katanya dalam sidang media, di sini, pada Selasa.
Sementara itu, Naib Canselor UMK, Datuk Profesor Dr Arham Abdullah berkata, proses pada peringkat awal ini akan membabitkan tinjauan terperinci, pemeriksaan permukaan dan ujian integriti struktur monumen kebangsaan itu.
Menurut beliau, UMK akan berperanan sebagai rakan penyelidikan dan perkongsian ilmu dengan tumpuan kepada aspek dokumentasi, penyelidikan serta pemindahan pengetahuan, khususnya bidang pemuliharaan dan pemulihan warisan.
“Kami mahu memastikan kepakaran yang dikongsi oleh pakar pemuliharaan dari Amerika Syarikat tidak hanya kekal dalam projek ini, sebaliknya dipindahkan kepada ahli akademik dan pelajar kami,” katanya.
Program ini turut memberi manfaat jangka panjang kepada industri warisan tempatan menerusi latihan teknikal praktikal kepada lebih 50 pelajar konservasi dan profesional tempatan.
Tugu Negara mempunyai nilai sejarah unik yang menghubungkan kedua-dua negara kerana ia direka oleh pengarca terkemuka AS, Felix de Weldon yang juga pereka bentuk Memorial Perang Kor Marin AS di Arlington, Virginia.