MALAYSIA
Amir Hamzah, Johari jalankan tugas sementara sehingga menteri baharu dilantik - Anwar

Perdana Menteri menegaskan bahawa pelantikan Johari Abdul Ghani dan Amir Hamzah Azizan sebagai pemangku menteri adalah langkah sementara mengikut Perlembagaan.
PUTRAJAYA: Keputusan memilih Datuk Seri Johari Abdul Ghani untuk menjalankan sementara tugas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam manakala Datuk Seri Amir Hamzah Azizan pula sebagai Menteri Ekonomi bukan disebabkan kerajaan ketandusan calon pengganti.
Ringkasan AI
- Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa pelantikan Johari Abdul Ghani dan Amir Hamzah Azizan sebagai pemangku menteri adalah langkah sementara mengikut Perlembagaan, bukan kerana kerajaan ketandusan calon.
- Anwar menyeru agar semua pihak memberi peluang kepada kedua-dua pemangku menteri untuk menjalankan tugas dengan baik tanpa gangguan politik atau spekulasi.
- Pelantikan sementara ini dibuat selepas Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad meletak jawatan berikutan kekalahan dalam pemilihan PKR, masing-masing sebagai Menteri Ekonomi dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam.
"Mereka (Amir Hamzah dan Johari) hanya menjalankan tugas portfolio masing-masing buat sementara waktu sehingga pelantikan baharu dibuat. Kalau ada Ahli Parlimen pembangkang yang tak faham, susahlah," katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Ar-Rahim, di sini, hari ini.
Sehubungan itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan meminta semua pihak agar memberi ruang kepada kedua-dua pemangku menteri itu untuk melaksanakan amanah dengan sebaiknya tanpa sebarang gangguan.
Terdahulu, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar memaklumkan bahawa Amir Hamzah dan Johari masing-masing diberikan tanggungjawab menjalankan tugas dan fungsi sebagai Menteri Ekonomi serta Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam.
Pada 28 Mei lalu, Nik Nazmi Nik Ahmad mengumumkan peletakan jawatan beliau sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, berkuat kuasa 4 Julai.
Sementara itu, pada 27 Jun, Shamsul Azri mengumumkan bahawa Amir Hamzah diberi tanggungjawab sebagai pemangku Menteri Ekonomi berkuat kuasa serta-merta susulan peletakan jawatan Datuk Seri Rafizi Ramli berkuat kuasa 17 Jun 2025.
Rafizi dan Nik Nazmi meletak jawatan selepas masing-masing gagal mempertahankan jawatan sebagai Timbalan Presiden PKR dan Naib Presiden PKR pada pemilihan parti yang diadakan Mei lepas.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami