MALAYSIA
AMM ke-58: Malaysia alukan inisiatif AICHR rangka dua deklarasi baharu - Mohamad Hasan

Mohamad berucap semasa sesi Dialog Menteri-Menteri Luar ASEAN bersama Wakil AICHR sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 dan mesyuarat berkaitan, di sini hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Malaysia mengalu-alukan inisiatif Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR) dalam merangka dua deklarasi baharu yang dianggap penting dalam landskap hak asasi manusia serantau.
Ringkasan AI
- Malaysia menyokong dua deklarasi baharu AICHR mengenai hak alam sekitar dan hak kepada pembangunan serta keamanan, sebagai usaha memperkukuh hak asasi serantau yang lebih inklusif dan mampan.
- Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan menekankan perlunya ASEAN berpaksikan rakyat, dengan hak dan maruah dijamin demi kestabilan serta pertumbuhan serantau yang berdaya tahan dan dinamik.
- Mesyuarat AMM ke-58 menghimpunkan 1,500 perwakilan antarabangsa di Kuala Lumpur, melibatkan sesi libat urus bersama rakan dialog ASEAN, membincangkan isu semasa dan laporan AICHR 2025.
“Deklarasi ini mengukuhkan lagi komitmen teguh AICHR untuk memperjuangkan hak asasi manusia di ASEAN, serta menangani cabaran semasa dan masa depan secara relevan dan tepat pada masanya.
“Dalam sesi dialog ini, kita menantikan pembentangan oleh wakil AICHR mengenai Laporan Tahunan 2025,” katanya.
Beliau berucap semasa sesi Dialog Menteri-Menteri Luar ASEAN bersama Wakil AICHR sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 dan mesyuarat berkaitan, di sini hari ini.
Selaku Pengerusi ASEAN 2025, Mohamad berkata Malaysia menegaskan masa depan ASEAN perlu dibentuk berasaskan kerangka yang inklusif, mampan dan berpandangan jauh, dengan rakyat sebagai teras utama dalam setiap dasar dan tindakan serantau.
Jelas beliau, untuk membina ASEAN yang berdaya tahan, dinamik dan berpaksikan rakyat, setiap negara anggota perlu memastikan bahawa hak dan maruah rakyat dijamin terlebih dahulu.
Malaysia, ujar beliau turut menegaskan bahawa penegakan hak asasi bukan hanya memenuhi tuntutan moral dan undang-undang antarabangsa, malah menjadi asas kepada kestabilan, kepercayaan dan pertumbuhan mampan di rantau ini.
“Usaha kita untuk mempromosi dan melindungi kesejahteraan rakyat kita harus terus dipimpin dan dimiliki oleh ASEAN sendiri.
“Ia perlu mencerminkan nilai dan norma negara anggota, selaras dengan Piagam ASEAN dan Pengisytiharan Hak Asasi Manusia ASEAN (AHRD),” kata Mohamad lagi.
AMM ke-58 dan mesyuarat berkaitan akan merangkumi 24 mesyuarat peringkat menteri, termasuk sesi libat urus bersama rakan dialog ASEAN dan rakan dialog sektoral.
Mesyuarat bermula 8 hingga 11 Julai di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) itu dijangka menghimpunkan kira-kira 1,500 perwakilan terdiri daripada menteri luar ASEAN, Timor-Leste, rakan dialog ASEAN, negara yang menyertai Forum Serantau ASEAN (ARF), rakan dialog sektoral dan pegawai kanan Sekretariat ASEAN.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami