KUALA LUMPUR: Tiada ibu bapa yang mahu hidup lebih lama daripada anak mereka, namun bekas pemain Piala Thomas Malaysia pada 1967, Datuk Yew Chen Hoe, berhadapan situasi sedih itu sehari sebelum Krismas.

Anak lelaki Chen Hoe, Lionel Yew Ming, menghembuskan nafasnya yang terakhir pada usia 52 tahun, selepas bermain badminton di Bukit Jalil pada 24 Dis.

Berita itu mengejutkan keluarga Cheng Hoe, kerana mereka baharu sahaja makan malam bersama-sama bagi menyambut Krismas di Petaling Jaya, pada Rabu.

"Seluruh ahli keluarga masih terkejut, Lionel tidak menunjukkan sebarang perubahan ketika makan malam keluarga itu. Beliau seorang yang aktif dan tidak pernah mempunyai penyakit sebelum ini.

"Doktor maklumkan kepada kami bahawa Lionel meninggal dunia akibat serangan jantung," kata Cheng Hoe, 79, kepada Bernama Ahad malam.

Pemenang pingat emas Sukan Komanwel 1966 itu berkata Lionel merupakan seorang yang baik dan terlibat dalam banyak kerja-kerja kebajikan.

"Saya kehilangan seorang anak lelaki yang amat prihatin pada masyarakat. Beliau telah lakukan banyak kerja kebajikan termasuk menjaga kebajikan masyarakat Orang Asli," katanya.

Berdasarkan maklumat, upacara sembahyang dan penghormatan terakhir akan bermula hari ini sehingga Rabu di Bilik Paul Miki, Gereja St Francis Xavier, Jalan Gasing, Petaling Jaya.

Upacara pengebumian akan berlangsung pada 2 petang Khamis (29 Dis), manakala pembakaran akan dilakukan di Gui Yuan Crematorium, Petaling Jaya.

-- BERNAMA