KUALA LUMPUR: Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini bakal menyaksikan kira-kira 700,000 pengundi baharu mengundi buat pertama kali.

Namun persoalannya, adakah mereka semuanya akan keluar mengundi nanti?

Sebahagian besar daripada jumlah itu adalah anak muda berusia 18 tahun dan ke atas, yang telah didaftarkan secara automatik selepas lulusnya dasar yang telah bertahun diperjuangkan itu 15 Disember tempoh hari.

Ini adalah golongan celik teknologi, terdedah kepada pelbagai sumber informasi yang mampu mereka akses di mana sahaja pada bila-bila masa. Bercakap secara amnya, boleh kata mereka sentiasa mengikuti segala perkembangan semasa, mahu tidak mahu kerana semuanya ada di hujung jari dan di depan mata.

Mereka juga seperti kita, malah mungkin lebih pintar, yang menyedari bahawa di negara ini tidak sudah-sudah dengan cerita politik sampai naik jelak. Pada sisi tertentu, ramai melihat politik itu sebagai 'benda kotor' hingga mereka tidak percaya pada ‘establishment’, termasuk peranan pilihan raya.

'Berapa kali pilihan raya pun, takkan mengubah apa-apa... keadaan semasa masih seperti dahulu'', ada yang begitu sentimennya. Ditambah pula kini, masalah COVID-19 masih menghantui kita malah semakin rancak dengan gelombang varian baharu.

Namun, menjadi manusia itu harus hidup bersistem dan demokrasi tidak boleh mati, malah perlu mekar dan bersih tanpa noda. Kalau tidak, huru-hara negara.

Juga menjadi tanggungjawab mereka sebagai generasi hari ini yang akan menentukan masa depan negara. Jika mereka mahu negara ini berubah, mereka perlu bertindak.

Jadi bagaimana?

Bagaimana untuk mengembalikan kepercayaan anak muda kepada sistem demokrasi yang sepatutnya mengatur masyarakat menuju sejahtera? Peranan siapa usaha ini?

Lain padang, lain belalang. Lain usia, lain cara. Untuk memikat hati anak muda, hanya anak muda yang lebih tahu apa yang dimahukan mereka.

Maka pentas Dialog Tiga Penjuru minggu ini, kami tampilkan tiga panelis muda: Setiausaha Agung Parti MUDA, Amira Aisya; Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor, R. Yuneswaran; dan Naib Ketua Pemuda UMNO Johor, Mohd Fared Mohd Khalid.

Dikendalikan oleh hos Luqman Hariz, saksikannya malam ini jam 8.30 hanya di saluran 501 dan astroawani.com.