Skip to main content

Malaysia

Anak muda perlu fahami sejarah negara - Fahmi

Sumber: Astro AWANI
Fahmi berkata, program tersebut turut menjadi platform untuk beliau mendengar pandangan dan persoalan yang dibangkitkan pelajar mengenai pelbagai isu semasa. - Gambar/ Astro AWANI
Advertisement

JEMPOL: Anak muda perlu memahami sejarah negara serta menyedari tanggungjawab mereka sebagai warganegara dalam membantu Malaysia terus maju.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, perkara itu antara penekanan yang disampaikan ketika menghadiri Program PENTARAMA X Kelab Malaysiaku dan Kempen Internet Selamat bersama kira-kira 60 pelajar tingkatan enam di Pejabat Penerangan Jempol, di sini, hari ini.

Menurut beliau, program anjuran Jabatan Penerangan Malaysia (Japen) itu bertujuan menyemarakkan lagi semangat cintakan negara, di samping memupuk kesedaran mengenai peranan dan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia.

“Bersama dengan pasukan PENTARAMA dari Jabatan Penerangan ini adalah untuk menyemarakkan lagi rasa cinta pada negara dan juga memberi penegasan tentang aspek-aspek kenegaraan sebagai seorang anak watan, sebagai seorang warganegara.

“Kita juga ada tanggungjawab dan perlu faham tentang sejarah serta apa tugas dan tanggungjawab kita untuk menjadi seorang rakyat Malaysia yang boleh membantu negara maju ke depan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas program tersebut yang menghimpunkan 60 pelajar daripada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Kikir, SMK Seri Perpatih dan SMK Datuk Mansor.

Image
Sumber: Astro AWANI
Fahmi bergambar selepas Program PENTARAMA X Kelab Malaysiaku dan Kempen Internet Selamat bersama kira-kira 60 pelajar tingkatan enam di Pejabat Penerangan Jempol, di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia, Erwin Khairul Ahmad dan Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Negeri Sembilan, Faisal Hamdi Mohammed Ghouth.

Dalam pada itu, Fahmi berkata, program tersebut turut menjadi platform untuk beliau mendengar pandangan dan persoalan yang dibangkitkan pelajar mengenai pelbagai isu semasa.

“Saya lihat rata-rata mereka mempunyai motivasi yang tinggi dan memahami cabaran semasa termasuk isu berita palsu, kesihatan mental serta media sosial.

“Ramai juga yang bertanya tentang masa depan dengan adanya perkembangan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI).

“Jadi, saya lihat lebih kurang 60 pelajar tingkatan enam ini mempunyai masa depan yang cerah,” kata Fahmi.

Sementara itu, Erwin Khairul berkata program itu merupakan antara program yang sedang berjalan di seluruh negara bagi mempromosikan kemerdekaan, perpaduan serta memberi penumpuan kepada sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.

Katanya, sebanyak 850 Kelab Malaysiaku diwujudkan di seluruh negara.

Sejak diperkenalkan pada 2024, Program PENTARAMA X Kelab Malaysiaku melibatkan seramai lebih 75,000 pelajar dan guru daripada 98 sekolah di seluruh negara.
 

Must Watch Video

Advertisement