KUCHING: Masalah dan kesulitan yang dihadapi oleh anak Sarawak di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Labuan ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pegerakan (PKP) akan dibantu menerusi Rumah Sarawak di Kuala Lumpur (RSKL) dan Sarawak Volunteers (SV).

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata Kerajaan Sarawak melalui RSKL dan SV telah menyalurkan bantuan kepada seramai 26,021 anak Sarawak termasuk 20,916 pelajar yang berada di luar Sarawak khususnya di Semenanjung, Sabah dan Labuan.

Beliau yang juga penaung SV mendedahkan antara bantuan yang diberikan adalah menguruskan penghantaran pulang pelajar-pelajar dan anak-anak Sarawak yang terkandas, serta menyediakan penginapan sementara, makanan dan minuman.

"Bantuan kewangan serta bakul makanan turut disalurkan kepada warga Sarawak yang berdepan dengan masalah ketika pandemik COVID-19 melanda.

"Seramai 17,954 warga Sarawak termasuk 17,739 pelajar menerima bantuan khas semasa PKP 1, diikuti 2,475 anak Sarawak termasuk 2,018 pelajar menerima bantuan ketika PKP 2 dan 5,592 warga Sarawak termasuk 1,159 pelajar menerima bantuan ketika PKP 3," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Jelas Fadillah, bantuan kebajikan turut diberikan kepada 587 rakyat Sarawak pada tahun 2020 dan 117 rakyat negeri itu telah dibantu sejak 1 Januari hingga 9 Julai 2021 melibatkan peruntukan sebanyak RM431,356.50.

"Bantuan kebajikan melibatkan tiga kategori bantuan iaitu bantuan mingguan, bagi kes yang dirujuk dari hospital di Sarawak, bantuan lain seperti penginapan, makanan, tiket penerbangan dan sumbangan serta penghantaran jenazah," katanya.

Seramai 115 anak Sarawak dibantu pada tahun lalu dengan nilai bantuan RM54,060 dan 89 dibantu antara Januari hingga 9 Julai tahun ini melibatkan peruntukan sebanyak RM41,970.51 bagi bantuan mingguan.

Tambahnya, bagi bantuan lain, seramai 418 warga Sarawak menerima bantuan berjumlah RM67,738.99 pada tahun lalu dan 67 lagi menerima bantuan berjumlah RM32,337 dalam tempoh tujuh bulan tahun ini.

Bagi pengurusan jenazah pula, penghantaran pulang 54 jenazah warga Sarawak pada tahun lalu (RM168,400) dan 21 jenazah sejak awal tahun ini (RM66,850) telah dilakukan.

"Dalam menyantuni isu dan permasalahan anak Sarawak di Semenanjung, Sabah dan Labuan, saya telah mengadakan beberapa siri perbincangan secara maya dengan wakil anak-anak Sarawak di Semenanjung, Sabah dan Labuan sejak perlaksanaan PKP 1 dan yang terbaru pada 1 Julai 2021 bersama wakil-wakil NGO Sarawak yang mewakili anak-anak Sarawak di Semenanjung Malaysia," ujarnya.

Antara fokus utama pihaknya adalah berkaitan kebajikan anak-anak Sarawak yang terkesan akibat COVID-19 dan tindakan segera harus dilakukan.

Anak Sarawak yang berada di Semenanjung, Sabah dan Labuan yang memerlukan bantuan dan menghadapi sebarang masalah boleh menghubungi Careline RSKL dan SV menerusi talian n 011-57505389 / 011-57505379 / 011-69285673 / 016-8945579 dari jam 8.30 pagi hingga 5.30 petang setiap hari.