WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memaklumkan Selat Hormuz akan kekal beroperasi tanpa sebarang bayaran tol secara kekal susulan perjanjian yang dicapai dengan Iran.
Menurut beliau, langkah itu bertujuan memastikan laluan perkapalan antarabangsa terus bebas dan tidak terhalang, khususnya bagi kapal perdagangan dan penghantaran minyak global.
Kenyataan tersebut dibuat dalam temu bual bersama sebuah media antarabangsa, ketika Washington dan Tehran dilihat semakin hampir memeterai perjanjian bagi menamatkan konflik yang berlanjutan sejak beberapa bulan lalu.
Sebelum ini, Trump turut mengumumkan pembukaan semula Selat Hormuz kepada kapal antarabangsa serta penamatan sekatan tentera laut sebagai sebahagian daripada usaha meredakan ketegangan di rantau itu.
Selat Hormuz merupakan antara laluan maritim paling penting di dunia, menghubungkan Teluk Parsi dengan Laut Arab dan menjadi laluan utama penghantaran minyak mentah global.
Dianggarkan sekitar satu perlima daripada bekalan minyak dunia melalui selat sempit itu setiap hari, menjadikannya nadi utama kepada kestabilan pasaran tenaga antarabangsa.
Sepanjang konflik, gangguan terhadap laluan tersebut telah menjejaskan rantaian bekalan global dan menyumbang kepada peningkatan harga minyak, sekali gus memberi tekanan kepada ekonomi dunia.
Pembukaan semula selat itu serta jaminan laluan bebas tol dilihat mampu mengurangkan ketidaktentuan pasaran, selain membantu menstabilkan harga minyak global dalam tempoh terdekat.
Langkah tersebut juga dijangka meningkatkan keyakinan pelabur serta memulihkan semula aliran perdagangan tenaga yang terjejas akibat konflik di Asia Barat. - Agensi