IPOH: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak telah memasang perangkap, susulan laporan haiwan misteri disyaki binatang buas yang merosakkan tanaman penduduk di empat buah kampung, di Bagan Datuk sejak dua minggu lalu.

Pengarah Perhilitan Perak Yusoff Shariff berkata pihaknya telah memasang dua buah perangkap haiwan, di sekitar Kampung Sungai Balai Darat sejak 10 Dis lalu.

Beliau berkata pemasangan perangkap itu sebagai langkah berjaga-jaga, selain menasihatkan para penduduk kawasan itu supaya berhati-hati dalam mendepani ancaman binatang buas tersebut.

"Hasil siasatan kakitangan kami mengesyaki haiwan itu ialah anjing berdasarkan kesan tapak kaki, namun kita akan jalankan siasatan lanjut," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Yusoff juga memohon orang ramai maklumkan segera kepada Perhilitan, sekiranya ternampak hidupan liar termasuk beruang seperti yang didakwa penduduk dan jangan cuba bertindak sendiri.

Terdahulu dilaporkan kehadiran haiwan misteri disyaki binatang buas, merosakkan tanaman pisang sejak dua minggu lalu mencetuskan kebimbangan kepada penduduk.

Ia berdasarkan penemuan tapak kaki serta kesan cakaran haiwan tersebut pada puluhan tanaman pisang yang ditanam penduduk, di kebun sekitar Kampung Sungai Lanchang, Kampung Sungai Nipah Darat, Kampung Pasang Api dan Kampung Sungai Balai Darat.

Kejadian itu disedari pada Sabtu lalu selepas beberapa batang pokok pisang di kebun mereka yang terletak di Lorong Limau Nipis, Kampung Sungai Balai Darat, di sini, patah serta rosak seperti 'dikerjakan' binatang buas.

Susulan itu ada penduduk mendakwa ia seperti gangguan beruang berdasarkan kerosakan pokok yang dipatahkan itu di bahagian tengah pokok (pisang).

-- BERNAMA