BERA: Enam tahun bukan tempoh singkat bagi kira-kira 1,600 penduduk Felda Triang 1 di sini yang terpaksa berdepan dengan ancaman kenderaan berat yang keluar masuk di kampung mereka.

Susulan itu, sebahagian penduduk hari ini mengambil keputusan berpiket di hadapan jalan masuk bagi memohon kerajaan persekutuan menaik taraf jalan berikutan jalan utama itu rosak teruk, berlubang dan tidak rata.

Astro AWANI difahamkan, jalan utama itu kini digazetkan sebagai jalan Persekutuan FT1564 memandangkan jalan itu menghubungkan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) ATM Bera dan Rejimen Ke-34 Artileri Diraja kira-kira pada jarak 1.3 kilometer (km) dari perkampungan ini.

Ketua Komuniti Kampung Felda Triang 1, Mohd Sayuti Zakaria berkata, keadaan jalan yang berlubang dan tidak rata (beralun) bukan sahaja mengancam nyawa penduduk di sini, malah mendakwa telah berlaku 15 kemalangan direkodkan termasuk insiden meragut nyawa.

"Jalan ini dah rosak sejak enam tahun lalu, iaitu sejak kem dan MRSM mula dibina di kawasan berdekatan, di Bandar 34.

"Pihak kontraktor guna jalan ini untung angkut bahan binaan. Semuanya kenderaan berat. Sebab tu jalan rosak. Sedangkan sebelum ni, pihak berkaitan sudah memaklumkan, mereka akan guna jalan alternatif di Paya Lang," ujarnya.

Dakwanya lagi, jalan bertambah rosak apabila projek pembinaan perumahan tentera di dalam kem pula kini sedang dijalankan.

Tinjauan mendapati kenderaan berat tidak henti-henti keluar masuk ke perkampungan itu, selain laluan yang sempit yang terpaksa dihadapi pengguna jalan raya setiap kali berselisihan.

Tambah Mohd Sayuti, jika termasuk anggota tentera, guru-guru atau ibubapa yang menghantar anak ke MRSM, jumlah pengguna yang melalui jalan tersebut mencecah sehingga 4,000 orang dalam masa sehari.

"Bukan semua anggota tentera tinggal di kuarters kem. Kebanyakannya mereka menyewa di luar, dan berulang-alik menggunakan jalan ini. Begitu juga dengan guru-guru yang mengajar di MRSM itu.

"Belum lagi termasuk penduduk di sini, yang terpaksa berdepan dengan keadaan ini untuk menghantar atau mengambil anak dari sekolah menengah. Kami terpaksa menanggung risiko sendiri," ujarnya lagi.

Kira-kira 1,600 penduduk Felda Triang 1 di sini yang terpaksa berdepan dengan ancaman kenderaan berat yang keluar masuk di kampung mereka. - Foto Astro AWANI

Jelasnya, pelbagai aduan dan rayuan telah dilakukan kepada pihak berkaitan namun tiada maklum balas yang diterima.

"Kami bukan menghalang pembangunan, tetapi kena tengoklah keadaan kami. Takkan disebabkan pembangunan di sana (Bandar 34), kami pula yang merana.

"Kami diberitahu, jalan ini akan dibaik pulih selepas projek (di Bandar 34) siap. Tapi, kalau nak tunggu semua projek siap, 10 tahun pun belum tentu lagi sebab dijangkakan ada 12 lagi pembangunan yang akan dilaksanakan di sini.

"Malu lah... Malu sebab jalan di Pahang adalah yang paling teruk. Kalau cakap pasal janji, daripada sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) lagi sudah berjanji. Nak kata wakil rakyat tak tahu, tak munasabah. Nak kata Penghulu tak tahu, pun tak munasabah. Nak kata peringkat Negeri Pahang, entah lah," katanya lagi.

Tinjauan mendapati kenderaan berat tidak henti-henti keluar masuk ke perkampungan itu, selain laluan yang sempit yang terpaksa dihadapi pengguna jalan raya setiap kali berselisihan. - Foto Astro AWANI

Sementara itu, Ketua Peneroka Felda Triang 1, Mohamed Jidi Yaakob berkata, keadaan jalan raya yang mengancam keselamatan dan nyawa penduduk kampung secara tidak langsung memcerminkan imej buruk kepada daerah Bera sendiri.

Katanya, laluan tersebut merupakan antara laluan tumpuan utama di daerah itu kerana terdapat MRSM ATM Bera dan Kem Rejimen Ke-34 Artileri Diraja, Kem Bera yang digunakan bukan sahaja oleh penduduk Bera tetapi juga orang luar.

"Ramai dah orang luar cakap, jalan ke MRSM Bera teruk dengan pecah, berlubang-lubang. Kalau kenderaan berselisih, mesti ada yang kena mengalah.

"Jalan sempit... Tak sesuai kalau kenderaan berat lalu di sini. Kalau waktu malam lagi bahaya sebab langsung tiada lampu jalan di sini.

"Jadi, kita minta pihak-pihak berwajib ambil tindakan segera untuk mengelak lebih banyak kemalangan

Tambah beliau lagi, komuniti kampung di sini tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan drastik menyekat kemasukan lori-lori muatan berat itu jika tiada tindakan diambil pihak berkaitan dengan segera.