Skip to main content

Malaysia

Ancaman penipuan digital kian serius, kerugian hampir RM3 bilion

81754639579_scam.jpg
Kegiatan penipuan kini bukan lagi kes terpencil, sebaliknya berkembang menjadi cabaran serius di peringkat nasional yang memberi kesan kepada individu, keluarga dan perniagaan. - Gambar hiasan
Advertisement

KUALA LUMPUR: Malaysia merekodkan lebih 66,000 kes penipuan dalam talian dengan kerugian kira-kira RM2.97 bilion tahun lepas, sekali gus mencerminkan ancaman semakin serius daripada sindiket yang memanfaatkan platform digital, kecerdasan buatan (AI) dan teknik manipulasi sosial.

Ahli Exco Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) merangkap Presiden Persatuan Graduan-Graduan British Malaysia (BGAM) Datuk Kamarudin Md Ali berkata kegiatan penipuan kini bukan lagi kes terpencil, sebaliknya berkembang menjadi cabaran serius di peringkat nasional yang memberi kesan kepada individu, keluarga dan perniagaan.

“Usaha memerangi ancaman ini memerlukan tanggungjawab bersama, dengan setiap rakyat yang mempunyai pengetahuan dan kesedaran menjadi benteng tambahan dalam menghadapi penipu,” katanya dalam ucapan alu-aluan pada Siri Syarahan BGAM: Kesedaran Penipuan 2.0 - Tindakan dan Pencegahan di HELP University di sini hari ini.

Siri syarahan itu dirasmikan Canselor Asia e University, Pengerusi pertama MCPF dan bekas Menteri Dalam Negeri Tan Sri Dr Syed Hamid Albar yang turut menyampaikan ucapan perasmian.

Program setengah hari anjuran BGAM dengan kerjasama HELP University dan The Hainan Professional and Graduate Team Malaysia (HPGTM) itu menghimpunkan pemimpin kerajaan, pakar penguatkuasaan undang-undang dan keselamatan siber, pengamal industri, ahli akademik serta orang ramai bagi membincangkan ancaman penipuan dan jenayah berasaskan siber yang semakin meningkat.

Bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf pula berkata Asia Tenggara kini menjadi pusat utama jenayah komersial dunia dengan kerugian akibat penipuan di rantau ini pada 2025 dianggarkan antara USD88 bilion (RM359.91 bilion) hingga AS$114 bilion (RM466.25 bilion).

Dalam ucaptamanya, Ramli berkata pusat operasi sindiket penipuan terancang di Myanmar, Kemboja, Laos dan Filipina dianggarkan menjana kira-kiraAS$40 bilion (RM163.59 bilion) setahun, dengan kegiatan itu semakin didorong oleh penggunaan teknologi deepfake berasaskan AI, pengubahan wang haram menerusi mata wang kripto serta eksploitasi mangsa pemerdagangan manusia dari lebih 80 negara sebagai buruh.

Beliau berkata Malaysia telah memperkukuh usaha membanteras jenayah berkenaan menerusi Akta Keselamatan Siber 2024, peningkatan pematuhan terhadap piawaian Pasukan Petugas Tindakan Kewangan (FATF) serta penyelarasan lebih erat antara agensi menerusi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC).

“Bagaimanapun, sindiket penipuan terus berkembang dengan pantas, justeru memerlukan kerjasama lebih kukuh, inovasi teknologi serta usaha berterusan meningkatkan kesedaran awam,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Institut Kriminologi dan Keadilan Jenayah HELP University merangkap Professorial Chair Prof Datuk Seri Dr Akhbar Satar berkata usaha memerangi penipuan tidak boleh bergantung kepada penyelesaian teknologi semata-mata, sebaliknya perlu disokong aspek integriti, pemikiran kritis, kesedaran awam dan tanggungjawab bersama.

“Penipu tidak menggodam komputer, sebaliknya memanipulasi psikologi manusia. Sama ada rasuah atau penipuan, jenayah bermula apabila integriti berakhir,” katanya.

Beliau berkata universiti memainkan peranan penting dalam memperkukuh literasi digital dan membudayakan pembuatan keputusan beretika, selain mempersiapkan graduan untuk menyumbang kepada usaha pencegahan jenayah, penggubalan dasar dan sistem keadilan jenayah.

Syed Hamid pula berkata penipuan kini bukan sekadar jenayah kewangan, malah menjadi cabaran lebih luas yang menjejaskan kepercayaan masyarakat, kesejahteraan sosial dan keyakinan terhadap ekosistem digital negara.

“Usaha memerangi penipuan tidak boleh disandarkan kepada penguatkuasaan semata-mata, sebaliknya memerlukan pendekatan seluruh masyarakat,”katanya.

Program itu turut menampilkan forum yang dikendalikan Presiden Institut Akhbar Malaysia (MPI) Datuk Yong Soo Heong dengan Ahli Exco MCPF Eugene Teow dan Perunding Pertubuhan Komuniti Anti-Scam Malaysia ASP (B) Rahmat Fitri Abdullah sebagai ahli panel.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement