KUALA LUMPUR: Ancaman keselamatan siber boleh mengatasi pendekatan tradisional ke atas keselamatan data dengan pantas apabila ekonomi beralih kepada model digital dan secara dalam talian, kata Ketua Pegawai Eksekutif MyDIGITAL Corporation (MyDIGITAL Corp), Fabian Bigar.

Beliau berkata untuk bertindak balas, kerajaan dan organisasi perlu berusaha menjadi proaktif dalam mencipta dan menyesuaikan dengan sistem bagi menghadapi ancaman siber ini.

"Kerugian monetari langsung global akibat jenayah siber pada 2020 dianggarkan meningkat hampir sekali ganda kepada AS$945 juta (AS$1=RM4.22) daripada AS$522 juta pada 2018.

"Kerugian ekonomi keseluruhan akibat jenayah siber termasuk sistem langsung, tidak langsung dan huluan pada 2020 dianggarkan US$4 trilion, kira-kira empat peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global," katanya semasa menyampaikan ucaptama perasmian webinar 'Keselamatan Siber dan Kepercayaan' pada Khamis.

Webinar itu dianjurkan bersama Institut Strategik KSI bagi Asia Pasifik dan Huawei.

Beliau berkata perbelanjaan melibatkan keselamatan siber pada 2020 dijangkakan melebihi US$145 bilion, bersama dengan kira-kira 1.3 peratus daripada KDNK global.

Pada 2017, jenayah siber merugikan Afrika dengan nilai kerugian tidak langsung kira-kira US$3.5 bilion, katanya.

"Anggaran ini tidak termasuk kerugian tidak langsung yang dialami mangsa seperti kos peluang, masa henti, kerugian kecekapan, memperkecil-kecil jenama, kerugian kepercayaan, pelanggaran harta intelek dan moral pekerja terjejas.

"Ia juga tidak termasuk kos sistemik seperti impak rantaian bekalan ke atas pembeli huluan dan pelanggan hiliran," katanya.

Bigar berkata selain Akta Perlindungan Data Peribadi (APDP) yang masa ini tidak meliputi data yang dikumpulkan kerajaan, Malaysia tidak mempunyai sebarang undang-undang privasi data yang lain.

"Dalam Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia, (bagaimanapun) kerajaan merancang untuk menyemak APDP," katanya.

Beliau berkata beberapa negara di dunia telah mempunyai undang-undang privasi yang turut merangkumi data kerajaan seperti Akta Perlindungan dan Maklumat Peribadi Afrika Selatan, Rang Undang-undang Perlindungan Data Peribadi India 2019 serta Akta Privasi New Zealand 2020.

Sementara itu, memetik kajian yang dijalankan oleh pasukan Fletcher School Digital Planet dari Amerika Syarikat, beliau berkata 'kepercayaan' ditakrifkan sebagai peningkatan kepercayaan dan keyakinan yang akan mendorong pengguna membuat pilihan untuk berinteraksi, melakukan transaksi dan berbelanja dalam talian.

"Kehilangan kepercayaan digital mencerminkan ramai orang bimbang mengenai peranan teknologi dalam kehidupan mereka pada masa ini.

"Ini relevan terutama ketika berjuta-juta orang di seluruh dunia sedang beralih kepada pembelajaran dalam talian, teleperubatan, kerja jarak jauh atau e-dagang sebagai langkah tindak balas terhadap sekatan yang disebabkan oleh pandemik," katanya.

Fabian berkata negara yang merekodkan momentum digital yang tinggi cenderung untuk mempunyai persekitaran digital yang kurang selamat dan pengguna sering bimbang mengenai privasi.

"Ini bermakna apabila negara-negara menyemak momentum digital mereka, sangat penting terutama bagi pemimpin kerajaan serta peneraju perniagaan untuk mengambil langkah dalam menangani isu privasi dan keselamatan yang mungkin menjejaskan pengguna.

"Bagaimanapun, tanggungjawab itu bukan sahaja dipikul oleh pihak pengawal selia malah industri untuk menentukan keselamatan bagi memupuk kepercayaan dalam ekosistem digital kolektif kita." katanya.

Beliau menjelaskan memandangkan sebahagian besar kandungan digital dijana oleh pengguna, banyak keselamatan dan privasi data dicetuskan daripada bagaimana individu berkenaan terlibat dengan sistem ini.

Beliau yakin kesedaran awam dan pendidikan merupakan unsur penting bagi keselamatan siber yang berkesan dalam meningkatkan kesedaran mengenai risiko siber serta salah guna maklumat dalam kalangan pengguna.

"Malaysia perlu memanfaatkan sepenuhnya ekonomi digital yang berkembang pesat sebagai strategi utama untuk memulihkan ekonomi, dengan tujuan menarik lebih banyak pelaburan dalam pendigitalan.

"Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia menetapkan hala tuju untuk mencapai pendigitalan Malaysia secara inklusif dan kita semua mesti memainkan peranan dalam memastikan kejayaan memperoleh kepercayaan," katanya.

-- BERNAMA