NATIONAL
Anggota FRU maut kemalangan: Dentuman kuat, saksi dengar laungan 'Allahuakbar', ratapan sayu

Keadaan kenderaan FRU dan lori muatan batu kerikil yang terbabit dalam nahas di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Teluk Intan. - Gambar/ Sinar Harian
TELUK INTAN: Laungan 'Allahuakbar' dan tangisan menyayat hati memecah kesunyian pagi dalam kejadian nahas mengorbankan sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Jalan Chikus-Sungai Lampam di sini pada Selasa.
Ringkasan AI
- Sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) terkorban dalam kemalangan di Jalan Chikus-Sungai Lampam, melibatkan kenderaan FRU dan lori muatan batu kerikil.
- Saksi melaporkan suasana panik dan sayu dengan laungan 'Allahuakbar' serta tangisan rakan-rakan mangsa yang cuba menyelamatkan mereka.
- Kemalangan dikatakan berlaku apabila lori muatan pasir cuba mengelak kereta keluar dari simpang dan bertembung dengan kenderaan FRU, menyebabkan remuk teruk dan kematian di lokasi serta di hospital.
"Saya dengar bunyi rintihan, jeritan dan tangisan kuat, saya percaya ia daripada rakan-rakan mangsa. Saya sendiri sebak bila dengar mereka teriak dan jerit ‘Allahuakbar’.
"Situasi sangat kelam kabut. Jalan mula sesak, tiada siapa dapat kawal lalu lintas waktu tu," katanya ketika ditemui.

Noor 'Ain Asyiqin
Menurut Noor ’Ain Asyiqin, semasa kejadian yang melibatkan kenderaan FRU dengan sebuah lori muatan batu kerikil itu berlaku, dia sedang memasak di kedai kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian.
Katanya, lori muatan pasir terbabit yang menuju ke arah Teluk Intan dilihat cuba mengelak sebuah kereta keluar dari simpang sebelum bertembung dengan kenderaan FRU yang datang dari arah bertentangan.
"Bunyi dentuman sangat kuat. Tak lama selepas itu, nampak berapa anggota FRU yang berada dalam trak hadapan turun dan berlari ke arah lokasi kemalangan untuk membantu rakan-rakan mereka," katanya.

Airul Amri
Sementara itu, seorang lagi saksi, Airul Amri Abd Hamid, 31, yang tiba di lokasi beberapa minit selepas kejadian berlaku berkata, bahagian depan kenderaan FRU remuk teruk dengan pemandu serta kelindannya tersepit.
Katanya, orang awam yang berada di lokasi kejadian hanya mampu membantu sekadar termampu sebelum bomba dan ambulans sampai.
“Sangat-sangat pilu dan menyedihkan. Dengar rintihan mereka yang cedera dalam, ada darah mengalir.
"Saya tak akan lupa apa saya lihat hari ni,” katanya.
Beliau berkata, jalan berkenaan sememangnya kerap berlaku kemalangan berikutan kewujudan simpang keluar masuk ke jalan utama.
Bagaimanapun katanya, ini merupakan kejadian paling tragik yang pernah dilihatnya.
"Sebelum ni pun ada kemalangan, tapi jarang melibatkan kematian. Kali ini betul-betul tragik. Bila kita dengar jeritan dan lihat keadaan anggota FRU itu, hanya Tuhan tahu perasaan kami yang menyaksikan," katanya.
Dalam nahas itu, lapan anggota FRU disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala seorang lagi pemandu kenderaan FRU terbabit meninggal dunia di Hospital Teluk Intan. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami