Seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) maut dipercayai menembak diri sendiri dalam kejadian di Berek Polis Pantai Remis, dekat sini, malam tadi.

Difahamkan, yang mangsa bertugas di Batalion 18 Senoi Praaq, Pangkalan Hulu dan terlibat dengan Op Benteng COVID-19 di Manjung, menembak diri sendiri di bahagian kepala menggunakan senjata api jenis M14 pada jam 9.25 malam.

Mangsa telah dibawa ke hospital sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 10.30 malam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Manjung, ACP Nor Omar Sappi, ketika dihubungi, mengesahkan insiden itu tanpa memberikan maklumat terperinci dan berkata pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut. -- BERNAMA



Orang ramai dialu-alukan membuat aduan sekiranya berhadapan masalah ketidakstabilan emosi.

Mereka boleh berkongsi masalah atau dilema yang dihadapi kepada para sukarelawan terlatih di Befrienders.

Befrienders ialah sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan yang menyediakan khidmat sokongan emosi 24 jam sehari, tujuh hari seminggu, kepada mereka yang mengalami kemurungan dan mempunyai niat untuk membunuh diri.

Befrienders boleh dihubungi di talian 03-7956 8145/8144 atau e-mel kepada [email protected] untuk bantuan.

Panggilan adalah percuma bermula 1 Ogos 2019.