Seorang anggota tentera maut selepas motosikal ditunggangnya bergesel dengan sebuah kereta Perodua Myvi dalam kejadian berhampiran lampu isyarat Cheng-Krubong Lebuh Alor Gajah, Melaka Tengah dan Jasin (AMJ) Melaka, pagi tadi.

Dalam kejadian sekitar jam 11 pagi itu, mangsa Muhammad Ihsan Verboy Mohigan, 36 tahun maut di tempat kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri Superintendan Mohd Sham Abdullah berkata, kemalangan dipercayai berlaku selepas motosikal yang ditunggang mangsa dari arah Alor Gajah menghala ke Bandar Melaka, bergesel dengan Perodua Myvi yang datang dari arah sama.

Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala serta kaki dan disahkan meninggal di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan. - Foto Astro AWANI
“Akibat geselan itu, mangsa hilang kawalan sebelum terbabas dan jatuh ke bahu jalan.

“Mangsa kemudian mengalami kecederaan parah di bahagian kepala serta kaki dan disahkan meninggal di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Difahamkan, mangsa yang berpangkat sarjan bertugas di 21 Skuadron Perubatan Gerup Gerak Khas Kem Iskandar, Mersing Johor.

Mohd Sham berkata, mayat mangsa kemudian dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Melaka bagi proses bedah siasat.

Pihaknya juga meminta saksi awam yang melihat kejadian untuk tampil memberi maklumat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.