KUALA LUMPUR: Program khas Astro Awani menjelang pilihan raya, Menuju PRU akan meneruskan siaran malam ini dengan fokus kali ini kepada Selangor dan Kelantan.

Selangor dan Kelantan, dua negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat, disifatkan oleh pemerhati politik sebagai negeri yang sedang hebat dilanda angin perubahan.

Melalui program itu, Astro Awani akan meninjau beberapa isu di kalangan rakyat yang dilihat boleh mempengaruhi undi mereka nanti.

Program itu juga akan mengupas strategi serta pendekatan parti-parti politik, pemimpin-pemimpin kawasan, penyandang-penyandang kerusi serta bakal calon.

Selangor mempunyai 56 kerusi Dewan Undangan Negeri DUN, 36 daripadanya dikuasai bersama secara tahaluf siyasi oleh PAS, PKR dan DAP.

Kelantan pula ada 45 kerusi DUN. 37 daripadanya dikuasai PAS, satu kerusi oleh PKR.

Menuju PRU bersiaran pada pukul 9.45 malam Isnin dan Jumaat di saluran 501 serta boleh diikuti secara langsung di www.astroawani.com.