PASIR PUTEH : Sebanyak 200 kilogram gamat dirampas oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Kelantan selepas menahan sebuah bot nelayan asing yang sedang menangguk gamat di perairan Kelantan.

Menurut Pengarah Maritim Kelantan, Kapten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab Rahman lima nelayan warganegara Vietnam berusia dari 34 hingga 61 tahun turut ditahan dalam Op Khas Naga Barat dan Op Damai pada Ahad.

"Bot peronda Maritim Malaysia telah mengesan bot nelayan berwarna kelabu dan hijau pada jam 6 petang dalam keadaan mencurigakan.

"Menyedari diekori bot ronda Maritim Malaysia, bot tersebut cuba melarikan diri. Selepas hampir 45 minit mengejar, bot suspek akhirnya berhenti dan pasukan geledah menaiki dan menahan bot tersebut pada 6.45 petang," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Katanya bot nelayan itu ditahan pada jarak lebih kurang 40 batu nautika daripada Muara Tok Bali dan 11.6 batu nautika daripada sempadan Thailand.

Menuru Syed Nor Adli pemeriksaan mendapati tekong serta awak awak berkenaan tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

"Selain gamat, diesel berjumlah 2,000 liter turut dirampas dengan nilai keseluruhan rampasan termasuk bot dan peralatan menangguk gamat dianggarkan berjumlah RM429,000.

Bot serta kesemua mereka yang ditahan dibawa ke Jeti Maritim Negeri Kelantan untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan atau cuba menangkap ikan tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia dan Seksyen 16 (3) akta yang sama yang boleh dihukum mengikut Seksyen 25 (a) iaitu hukuman denda sehingga RM6 juta kepada tekong dan RM600,000 ke atas setiap awak awak.

Mereka juga akan disiasat mengikut Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mempamerkan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.