SHAH ALAM : Kerajaan bersikap terbuka untuk mana-mana pihak menganjurkan sebarang program di mana-mana institusi pengajian tinggi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bagaimanapun, aktiviti seumpama itu perlu dilakukan mengikut saluran yang betul.

"Saya terbuka kalau nak datang ke universiti tetapi ikut peraturan dan maklumkan kepada pihak sepatutnya.

"Kita tidak fikir untuk sekat melainkan ada sikap yang membawa permusuhan kaum atau agama itu kita tegaskan supaya keselamatan negara terkawal.

"Bila kita berikan kelonggaran tidak bermakna pihak tertentu boleh terus masuk ke dalam universiti... maklumkan saja, kita tidak terlalu mengawal dan mengongkong tetapi perlu pastikan suasana harmoni tidak dijejaskan," katanya.

Beliau bekata demikian ketika menghadiri Sesi Dialog Bersama Majlis Perwakilan Pelajar UiTM di Shah Alam pada Jumaat.

Sebelum ini, beberapa acara seperti Program Jelajah Mansuh AUKU dan Dialog Intern Bukan Buruh Percuma yang dirancang diadakan di Dataran Cendekiawan, UiTM Shah Alam pada 30 Mac 2023 lalu, tidak dapat diteruskan susulan pihak terbabit tidak mendapat kelulusan universiti.

Dekan UiTM, Profesor Madya Nor Hafizah Mohamed Harith turut meminta agar pelajar tidak terlibat dengan program tersebut.

Sementara itu, Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam reaksinya menyatakan kekecewaan berikutan alasan yang dinyatakan oleh pihak universiti iaitu untuk menjaga keharmonian.

Sebelum ini, Kementerian Pengajian Tinggi turut menyuarakan pendirian yang sama agar segala aktiviti termasuk penganjuran program dimaklumkan terlebih dahulu kepada pihak pengurusan universiti.