GEORGE TOWN: Arkib Negara Malaysia (ANM) telah mengumpul lebih 10,000 bahan berkaitan bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi, yang kini dalam proses penyenaraian untuk ditempatkan di Memorial Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Ketua Pengarahnya Zaidin Mohd Noor berkata pengumpulan bahan itu dilaksanakan melalui kerjasama dengan Jabatan Perdana Menteri (JPM), dan merangkumi pelbagai rekod rasmi, dokumen pentadbiran serta bahan berkaitan penglibatan Perdana Menteri ke lima itu dalam politik dan hubungan antarabangsa.
Advertisement
“Kalau ikut secara rasminya lebih daripada 10,000 bahan berkaitan Tun Abdullah telah kita kumpulkan, antaranya surat-surat rasmi, rekod penglibatan dalam parti politik, serta dokumen lawatan rasmi ke luar negara termasuk ucapan peringkat antarabangsa seperti pada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
"Semua bahan yang diperoleh akan disimpan sebagai rekod sejarah negara, namun hanya sebahagian akan dipamerkan kepada umum berdasarkan tema dan tempoh tertentu di Memorial Tun Abdullah Ahmad Badawi nanti termasuk konsep Islam Hadhari,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas Program Kayuhan Jejak Seniman:Rumah Kelahiran P. Ramlee yang disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Tun Ramli Ngah Talib.
Sebagai simbolik program itu Tun Ramli turut berkayuh sejauh 14.1 kilometer dari kediaman rasminya Seri Mutiara di Jalan York ke rumah kelahiran P. Ramlee.
Sebelum ini, Kerajaan Negeri Pulau Pinang meluluskan sebidang tanah di kawasan Vision Park, Bertam, Kepala Batas bagi pembinaan Memorial Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai memperingati jasa dan legasi bekas Perdana Menteri itu.
Mengulas lanjut, Zaidin berkata projek Memorial Tun Abdulah Ahmad Badawi dijangka dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), tertakluk kepada kelulusan peruntukan oleh kerajaan Persekutuan.
"Kami di ANM turut mengalu-alukan sumbangan bahan berkaitan tokoh negara termasuk Tun Abdullah daripada orang ramai bagi memperkaya koleksi arkib … ," katanya.
Beliau berkata memorial itu dijangka menjadi pusat rujukan sejarah serta platform pendidikan bagi memperkenalkan sumbangan dan kepimpinan Tun Abdullah kepada generasi akan datang.
Perdana Menteri kelima yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas selama lapan penggal berturut-turut dari 1978 hingga 2013, meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada 14 April 2025.
-- BERNAMA