Skip to main content

Malaysia

Anthony Loke mahu jadual KTM diselaras dengan ETS

Anthony Loke, KTMB, MOT
Anthony Loke mahu kekerapan perkhidmatan KTM diselaraskan dengan jadual tren elektrik (ETS) bagi memastikan perjalanan penumpang lebih lancar, khususnya ke arah selatan. - Gambar Astro AWANI
Advertisement

BAHAU: Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mahu kekerapan perkhidmatan KTM diselaraskan dengan jadual tren elektrik (ETS) bagi memastikan perjalanan penumpang lebih lancar, khususnya ke arah selatan.

Beliau berkata, tumpuan utama adalah memastikan ketersambungan (connectivity) yang baik antara perkhidmatan KTM dan ETS, termasuk mengurangkan tempoh menunggu di Stesen Gemas.

“Saya telah minta KTM melihat kepada kekerapan perkhidmatan supaya dapat disambungkan dengan ETS.

“Apa yang penting ialah mesti ada connectivity dengan ETS. Kalau kita dapat menyusun jadual itu, apabila tren sampai di Stesen Gemas, tempoh menunggunya tidak lama, mungkin sekitar 10 hingga 15 minit sebelum penumpang boleh terus menaiki ETS.

“Itu yang paling sesuai kerana ia memberi connectivity yang baik, terutamanya ke arah selatan seperti ke JB Sentral,” katanya.

Mengulas perkembangan projek landasan, Anthony Loke berkata, Pakej B telah siap lebih awal berbanding Pakej A, namun Pakej C masih berdepan kelewatan pelaksanaan.

Menurutnya, kontraktor asal yang sebelum ini ditamatkan perkhidmatannya telah membuat rayuan dan kerajaan memberikan peluang kedua untuk meneruskan projek berkenaan.

“Setakat ini pelaksanaan masih ada masalah, jadi berlaku kelewatan bagi Pakej C. Sepatutnya ia sudah lama siap.

“Kita masih menilai tindakan seterusnya,” katanya ketika ditemui media pada selepas program Lawatan Kerja Projek Siap Bagi Projek Kerja-Kerja Pemulihan, Naik Taraf Landasan Kereta Api Dan Kerja-Kerja Berkaitan Di Antara Gemas, Negeri Sembilan Hingga Stesen Kereta Api Mentakab, Pahang, di sini, hari ini.

Beliau berkata, antara pilihan yang sedang dipertimbangkan ialah melantik kontraktor baharu, namun kerajaan terlebih dahulu memberi peluang kepada kontraktor asal untuk menyiapkan projek berkenaan.

Mengulas cabaran pelaksanaan projek di seksyen Gua Musang-Kota Bharu/Tumpat, beliau berkata, kawasan itu merupakan antara jajaran yang paling sukar berikutan kerosakan teruk yang dialami ketika banjir besar di Pantai Timur.

Katanya, laluan tersebut merentasi kawasan hutan, pedalaman serta melibatkan banyak cerun yang runtuh, sekali gus menjadikan pelaksanaan projek lebih mencabar.

Topic Berkaitan

Must Watch Video

Advertisement