Pasangan YouTuber masakan terkenal, Sugu Pavithra mahu menjalani kehidupan di masa hadapan seperti orang biasa.

Menurut S Pavithra, mereka tidak mahu lagi dikenali sebaliknya hanya mahu menumpukan perhatian kepada keluarga.

Sehubungan itu, Pavithra meminta supaya mereka tidak lagi diberi sebarang anugerah di masa hadapan kerana merasakan mereka masih baharu dan tidak layak.

BACA: Pengguna YouTube Pavithra akan diiktiraf Ikon Anak Bandar Raya Ipoh

“Ada lagi di luar sana, jangan pilih kami sebab ramai rakyat yang salah faham. Benda ini buat ramai orang sakit hati, bukan YouTuber saja, ramai lagi yang berbakat, lain bidang pun ada.

“Jadi kami tidak layak untuk semua ini, kami nak hidup normal, jaga keluarga, itu saja. Kami tidak hendak jadi orang kata dikenali ramai, kami biasa saja. Biarkan kami hidup biasa,” katanya ketika ditemui di pekarangan Mahkamah Majistret/Sesyen di sini pada Jumaat.

Terdahulu M. Sugu, 29, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan dengan sengaja mendatangkan kecederaan ke atas Pavithra di parkir Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh, antara jam 4 hingga 5 petang, pada 21 Julai lalu.

BACA: Suami YouTuber masakan terkenal mengaku tidak bersalah miliki senjata bahaya

BACA: Sugu didakwa lagi, cederakan Pavithra guna telefon bimbit, hulu sabit

Pada sebelah pagi, di mahkamah yang sama, dia juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memiliki senjata berbahaya iaitu sebilah sabit juga di parkir HRPB, kira-kira jam 6 petang, hari yang sama.

Astro AWANI pada Jumaat melaporkan Pavithra berkata, dia tidak mahu lagi memikirkan masalah yang berlaku sebaliknya, mahu memberi perhatian kepada kehidupan mereka sekeluarga termasuk kembali meneruskan rancangan masakan di saluran YouTube.

Bercerita lanjut, Pavithra menjelaskan, apa yang berlaku semuanya berkaitan masalah keluarga dan dia sudahpun maafkan suami atas apa yang berlaku.

BACA: 'Saya maafkan suami' - Pavithra

Dia berkata demikian selepas menjelaskan bayaran jaminan RM10,000 yang dikenakan ke atas suaminya di Mahkamah Sesyen Ipoh, pada Jumaat.

Pavithra yang kelihatan sedih memohon kepada orang ramai untuk terus memberi sokongan terhadap rancangan masakan kendalian mereka di saluran YouTube 'Sugu Pavithra'.