Anugerah Kampung Baru Terbaik platform perkukuh semangat komuniti, kelestarian

Menteri Besar Selangor, Amirudin bergambar bersama penerima- penerima anugerah pada Majlis Anugerah Kampung Baru Terbaik Negeri Selangor 2025 malam tadi. - Gambar Bernama
KLANG: Anugerah Kampung Baru Terbaik Selangor 2025 bukan sekadar pengiktirafan sebaliknya platform memperkukuh semangat komuniti, kebersihan persekitaran dan budaya hidup lestari dalam kalangan penduduk, kata Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Beliau berkata, program dwitahunan itu dirangka bagi menggalakkan kepimpinan kampung dan masyarakat setempat berganding bahu dalam menjaga keindahan, kebersihan serta keharmonian sosial demi membentuk komuniti yang sihat, sejahtera dan berdaya tahan.
"Anugerah ini bukan sebuah pertandingan semata-mata. Ia adalah gerakan masyarakat untuk menyemai rasa cinta, tanggungjawab dan kebersamaan dalam memajukan kampung secara menyeluruh.
"Kebersihan dan keindahan kawasan kampung mencerminkan budaya, disiplin dan nilai masyarakat itu sendiri, selain memberi kesan langsung terhadap tahap kesihatan, kesejahteraan serta kualiti hidup penduduk," katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Kampung Baru Terbaik Selangor 2025, di sini, pada Rabu.
Hadir sama Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Datuk Ng Suee Lim.
Amirudin turut menekankan peranan kepimpinan kampung dan Jawatankuasa Pengurusan dan Keselamatan Kampung (JPKK) sebagai pemacu utama dalam menggerakkan kegiatan komuniti.
Beliau berkata, kejayaan sesebuah kampung bermula daripada kepimpinan yang berwawasan dan dekat dengan rakyat sekali gus memperkukuh serta mewujudkan semangat kekitaan, disiplin dan rasa tanggungjawab bersama.
Amirudin berkata, majlis anugerah itu juga seiring dengan matlamat di bawah Rancangan Selangor Pertama (RS-1) dan Agenda Pembangunan Mampan (SDG) dalam menjadikan Selangor sebagai negeri maju yang seimbang antara kemajuan ekonomi dan kelestarian alam.
Pada majlis itu, Kampung Bagan Pulau Ketam dinobat sebagai pemenang Anugerah Kampung Baru Terbaik diikuti Kampung Sekinchan Site C serta Kampung Baru Seri Setia.
Pemenang membawa pulang hadiah masing-masing berjumlah RM3,000, RM2,000 dan RM1,500 serta trofi dan sijil pengiktirafan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


