KUCHING: Timbalan Premier Sarawak Datuk Seri Dr Sim Kui Hian mendahului senarai penerima pingat dan darjah kebesaran sempena sambutan ulang tahun kelahiran ke-87 Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud  hari ini.

Beliau merupakan penerima tunggal Darjah Utama Yang Amat Mulia Bintang Kenyalang Sarawak Datuk Amar Bintang Kenyalang (DA) yang membawa gelaran 'Datuk Amar'.

Sementara itu Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki merupakan antara sembilan individu yang dikurniakan Darjah Panglima Negara Bintang Sarawak (PNBS) yang membawa gelaran 'Datuk Seri'.

Penerima lain termasuk Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Roland Sagah Wee Inn, Menteri di Jabatan Premier Sarawak Datuk John Sikie Tayai dan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Julaihi Narawi.

Turut menerima darjah kebesaran yang sama, Penasihat Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak Datuk Mohd Naroden Majais, Pengerusi Universiti Malaysia Sarawak Tan Sri Sulong Matjeraie, bekas Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak Datuk Abdul Ghafur Sharif dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Persahabatan Malaysia-Turkiye Dr Qamarul Naim Mohd Faizal.

Tujuh timbalan menteri dalam Kabinet Sarawak pula dianugerahkan darjah Panglima Gemilang Bintang Kenyalang (PGBK) yang membawa gelaran 'Datuk'.

Mereka ialah Jefferson Jamit Unyat, Dr Hadzland Abang Hipni, Ir Aidel Lariwoo, Michael Tiang Ming Tee, Martin Ben, Dr Ripin Lamat dan Mohd Razi Sitam.

Turut dikurniakan darjah kebesaran yang sama, Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy Datu Sharbini Suhaili dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Dudong yang juga veteran politik, Jawan Empaling.

Duta Emeriah Arab Bersatu ke Malaysia, Khalid Ghanim Mohammed Alghaith dan Duta Turki, Dr Merve Kavakci pula menerima PGBK (Kehormat) yang membawa gelaran yang sama.

Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni dan Pengerusi Lembaga Pelancongan Sarawak Dennis Ngau pula merupakan antara 21 individu yang dianugerahkan Darjah Panglima Setia Bintang Kenyalang (PSBS) yang membawa gelaran 'Datuk'.

Seramai 11 penjawat awam kanan Sarawak pula menerima Darjah Jasa Bakti Sarawak (DJBS) yang membawa gelaran 'Datu'.

Keseluruhannya, seramai 1,447 individu diperkenan untuk menerima pelbagai darjah dan pingat pada sambutan kali ini.

Namun, upacara pengurniaan ditangguhkan sehingga dimaklumkan kelak.