Skip to main content

Malaysia

'Siasat jika ada langgar tatakelola di anak syarikat Khazanah' - Anwar

MELAKA, 7 Ogos -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Landskap Negara 2026 (HLN 2026) di perkarangan Stadium Hang Jebat, Krubong, hari ini._BERNAMA
Anwar menegaskan sebarang kemungkinan pelanggaran tatakelola perlu disiasat bagi memastikan tadbir urus syarikat berkaitan kerajaan itu kekal bersih. - Gambar fail
Advertisement

KLANG: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan supaya siasatan dijalankan terhadap sebuah syarikat yang ditubuhkan sejak 2012 di bawah Khazanah Nasional susulan wujud keraguan berkaitan aspek tatakelola.

Anwar yang juga Pengerusi Khazanah, menegaskan sebarang kemungkinan pelanggaran tatakelola perlu disiasat bagi memastikan tadbir urus syarikat berkaitan kerajaan itu kekal bersih.

 

Beliau berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Lembaga Khazanah yang berlangsung pada pagi Khamis.

“Tadi saya sebut Khazanah. Apa itu Khazanah? Itu syarikat kerajaan, semua bank, Maybank dan Tenaga Nasional Berhad (TNB), Telekom, itu di bawah Khazanah.

“Saya puji Alhamdulillah, pengurusan (Khazanah) baik, sudah jaga tatakelola dengan baik.

“Tapi dalam gali-gali ini, rupanya ada syarikat ditubuh sejak 2012 yang menimbulkan keraguan tentang tatakelola.

“Apa keputusan saya? Saya kata tak kira. Walaupun Pengerusi Khazanah sekarang (ialah) Perdana Menteri, saya minta kalau ada pelanggaran tatakelola, siasat. Ini barulah kita tegas,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika sesi Temu Anwar sempena Himpunan Anak Muda Kebangsaan (HAMKA) Antarabangsa 2026, di sini, pada Khamis.

Menurut Anwar, susulan itu, mesyuarat Lembaga Khazanah memutuskan untuk menjalankan siasatan terhadap aspek berkaitan bagi memastikan sebarang masalah tatakelola dapat dikenal pasti dan diperbetulkan.

“Jadi sekarang keputusan kita, mesyuarat Lembaga Khazanah memutuskan untuk siasat apa-apa aspek supaya kita bersihkan walaupun ia warisan saki baki yang lama,” katanya.

Menurut Anwar, tindakan tersebut perlu dilihat sebagai usaha membersihkan kelemahan lama yang kesannya masih dirasai pada masa kini, bukannya didorong faktor politik atau dendam terhadap pihak terdahulu.

Dalam pada itu, Anwar turut memuji pengurusan Khazanah dalam memelihara aset dan warisan negara, termasuk usaha memperindah Carcosa Seri Negara.

Beliau berkata usaha tersebut penting bagi memastikan aset bersejarah negara terus dipelihara sebagai sebahagian daripada warisan dan kebanggaan negara.

Must Watch Video

Advertisement