KUALA LUMPUR: Seorang wanita yang merupakan mangsa keempat dalam kemalangan membabitkan sebuah lori Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di persimpangan Maju Junction, Jalan Sultan Ismail di sini, kini dilaporkan stabil.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali berkata, wanita yang berusia 55 tahun itu masih menerima rawatan di zon kuning Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Menurutnya, pihak polis akan mengambil keterangan mangsa selepas keadaannya mengizinkan bagi membantu siasatan lanjut.
“Seorang lagi mangsa iaitu isteri kepada mangsa lelaki serta ibu kepada kedua-dua mangsa yang meninggal dunia mengalami kecederaan dan kini masih menerima rawatan di zon kuning HKL.
“Keadaannya setakat ini stabil dan selepas keadaan sudah baik, kita akan dapatkan keterangan daripadanya,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, pemandu lori JIM berusia 43 tahun yang terlibat dalam kemalangan berkenaan mengaku tidak bersalah terhadap lima pertuduhan mengikut Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, pada Khamis.
Pada Rabu, tiga sekeluarga maut dilanggar lori JIM yang terbabas dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan dan empat pejalan kaki di persimpangan lampu isyarat Maju Junction, Jalan Sultan Ismail.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPK Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, kemalangan berlaku kira-kira jam 1 pagi ketika lori Isuzu Black Maria tanpa muatan itu dalam perjalanan dari Pejabat Imigresen Kuala Lumpur menuju ke Chow Kit.