KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi menzahirkan harapan agar mangsa-mangsa banjir mendapat pembelaan sepenuhnya.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, perkara itu dibangkitkan beliau kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Parlimen, sejurus selepas penangguhan Rang Undang-undang Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2021, hari ini.

Anwar berkata, beliau bersama pimpinan telah berbincang dengan Ismail Sabri tentang usaha serta status bantuan kepada mangsa-mangsa banjir.

“Sebaik sahaja Dewan Rakyat ditangguhkan sebentar tadi, saya bersama pimpinan lain bertemu Perdana Menteri bagi bincang usaha serta status bantuan kepada mangsa-mangsa banjir.

“Semua mangsa dan keluarga yang terjejas dari musibah ini mesti mendapat pembelaan sewajarnya,” katanya lagi.




Pada Ahad, Anwar menggesa tindakan segera diambil untuk memastikan mangsa banjir mendapat pembelaan sewajarnya.

Dalam catatan di Facebooknya, Pengerusi Pakatan Harapan itu berkata, beliau telah mendengar pelbagai keluhan mangsa di kawasan yang terjejas banjir.

Antara yang menjadi kegusaran mangsa-mangsa banjir berkenaan, jelas Pengerusi Pakatan Harapan itu ialah, usaha pembersihan kawasan rumah serta kerugian yang bakal dialami sebaik bencana ini berakhir.

Selain Itu, Anwar berkata, terdapat juga permasalahan asas yang turut membebani mereka, seperti kekurangan bekalan makanan, ubat-ubatan serta keperluan asas lain.