Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini membuat permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk membenarkannya menghadiri sidang Parlimen sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh.

Anwar yang kini menjalani hukuman penjara di Penjara Sungai Buloh sejak 10 Februari diwakili peguam dan ahli Parlimen Padang Serai N. Surendran.

"Kami meminta agar permohonan Anwar ini didengar secepat mungkin kerana sesi Parlimen ini akan berakhir pada 9 April depan.

"Permohonan ini adalah kerana sebelum ini tidak pernah berlaku apabila Ketua Pembangkang tidak dibenarkan ke Parlimen," kata Surendran.

Dalam satu afidavit yang diikrarkan Anwar pada 16 Mac, beliau menyatakan keputusan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Zahid Hamidi dan Komisioner Jeneral Penjara Datuk Sri Zulkifli Omar yang tidak membenarkan beliau menghadiri sidang Dewan Rakyat adalah tidak berperlembagaan, tidah sah dan terbatal.

"Saya masih seorang Ahli Parlimen dan mempunyai tanggungjawab untuk menghadiri sidang Dewan Rakyat sebagai wakil rakyat bagi kawasan saya serta selaku Ketua Pembangkang.

"Dengan tidak membenarkan saya menghadiri sidang Dewan Rakyat tersebut bermula 9 Mac lalu dan tamat pada 9 April depan, Zahid dan Zulkifli secara efektif menafikan pengundi-pengundi Permatang Pauh hak mereka untuk diwakili oleh wakil mereka yang dipilih dan hak untuk didengar pada sidang Dewan Rakyat tersebut melalui wakil rakyat mereka.

"Keputusan Zahid dan Zulkifli juga telah melanggari hak saya yang telah dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan," kata Anwar yang dalam satu afidavit yang sama.

Turut hadir sama ketika penghantaran permohonan tersebut ialah Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah, peguam Latheefa Koya, dan Nurul Nuha.

"Sebelum ini ucapan Ketua Pembangkang yang saya baca sebagai sebahagian ucapan saya disiasat kerana didakwa berbaur hasutan. Justeru itu saya fikir adalah penting untuk Anwar diberikan hak untuk bersuara di Parlimen untuk mempertahankan dirinya," kata Izzah.

Pada 4 Mac, Jabatan Penjara tidak meluluskan permohonan bagi membolehkan Anwar menghadiri sesi Mesyuarat Pertama, Penggal Ketiga Parlimen ke-13.

Zulkifli berkata ia diputuskan selepas pertimbangan dibuat, dan berdasarkan Seksyen 31(1)(a) Akta Penjara 1995.

Pada 2 Mac pula, Zahid berkata status permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menghadiri persidangan Dewan Rakyat hanya akan diketahui selepas Yang di-Pertuan Agong membuat keputusan berhubung petisyen pengampunan yang dikemukakan keluarga ketua pembangkang itu.

Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari mengekalkan hukuman penjara lima tahun ke atas Anwar Ibrahim bagi kesalahan meliwat Mohd Saiful Bukhari pada 26 Jun, 2008.