Skip to main content

Malaysia

Anwar dijadual hadiri WSC 2026 sokong kontinjen negara

KUALA LUMPUR, 8 Sept - Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berucap pada majlis Perjumpaan Khas Delegasi Malaysia ke Worldskills Shanghai 2026 di Menara Dato' Onn. - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Ahmad Zahid berucap pada majlis Perjumpaan Khas Delegasi Malaysia ke Worldskills Shanghai 2026 di Menara Dato' Onn. - Gambar Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual menghadiri WorldSkills Competition (WSC) 2026 di Shanghai, China, bagi memberikan sokongan moral kepada 22 peserta negara yang bakal berentap dalam pertandingan kemahiran berprestij dunia itu.

Kehadiran Anwar pada pertandingan yang berlangsung dari 22 hingga 27 Sept itu bakal menyaksikan buat julung-julung kali seorang Perdana Menteri hadir secara langsung bagi memberikan sokongan kepada kontinjen negara pada pertandingan berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara berkata pertemuan dengan peserta negara itu turut dimasukkan dalam itinerari Anwar yang juga Menteri Kewangan sepanjang berada di Shanghai.

“Saya ingin umumkan, ketika kita berada di Shanghai nanti untuk WorldSkills ini, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri juga akan berada di sana.

“Kita sambut beliau (Anwar) baik-baik, kita hadiahkan beliau dengan sebanyak pingat emas yang boleh untuk negara kita, untuk Perdana Menteri kita,” katanya ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Khas Timbalan Perdana Menteri dengan Delegasi Negara WorldSkills Competition Shanghai 2026 di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan dan Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan.

Beliau berkata penyertaan 22 peserta dalam 21 bidang kemahiran kali ini membawa iltizam besar menerusi agenda “Road to Gold” dalam usaha merealisasikan sasaran meraih pingat emas pertama negara pada pentas berkenaan.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata setiap peserta bukan sahaja membawa harapan peribadi, ibu bapa dan institusi yang diwakili, malah menggalas tanggungjawab sebagai wakil negara dalam bidang kemahiran masing-masing.

“Kita adalah wakil negara. Kita adalah duta kecil di dalam bidang kita masing-masing. Kemenangan kita adalah kemenangan untuk negara,” katanya.

Ahmad Zahid berkata Malaysia sehingga kini belum pernah meraih pingat emas pada peringkat WSC, namun yakin kontinjen negara mampu menamatkan penantian itu pada edisi kali ini.

Sebagai suntikan motivasi, Ahmad Zahid turut berhasrat menambah RM10,000 kepada ganjaran sedia ada bagi peserta yang meraih pingat emas, manakala pemenang pingat perak akan menerima tambahan RM5,000.

Sementara itu, Ahmad Maslan berkata pemenang pingat emas akan menerima tambahan RM10,000, menjadikan jumlah ganjaran tunai RM50,000 berbanding RM40,000 sebelum ini, selain sebuah kereta Perodua Myvi.

Beliau berkata pemenang emas yang turut dinobatkan sebagai Best of Nation akan menerima tambahan RM4,000, menjadikan jumlah ganjaran tunai RM54,000.

Bagi pemenang pingat perak pula, ganjaran ditambah RM5,000 kepada RM25,000, selain sebuah motosikal elektrik, manakala pemenang pingat gangsa menerima RM10,000.

Ahmad Maslan berkata lapan daripada 22 peserta dikenal pasti sebagai sandaran utama kontinjen negara untuk memburu pingat emas berdasarkan prestasi konsisten mereka dalam pertandingan dan program latihan sebelum ini.

“Kenapa lapan itu menjadi harapan kita? Kerana lapan itu telah mendapat emas secara konsisten, sama ada di Manila, Taipei ataupun program latihan yang kita adakan di pelbagai negara,” katanya.

WSC ialah pentas kemahiran dunia paling berprestij yang menghimpunkan bakat muda terbaik dari pelbagai pelosok rantau dan benua, serta menjadi arena global untuk menilai, mengiktiraf dan mengagungkan tahap kecekapan, ketepatan serta inovasi dalam pelbagai bidang kemahiran teknikal dan vokasional bertaraf antarabangsa.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement