PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kini sedang menjalani pemeriksaan serta prosedur yang ditetapkan oleh pasukan pakar perubatan dan dijangka berada di bawah pemantauan selama dua hari.
Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah, menerusi satu kenyataan media pada Isnin.
Menurut kenyataan tersebut, pemeriksaan dan prosedur berkenaan dilaksanakan mengikut penilaian serta saranan pasukan pakar perubatan yang merawat Perdana Menteri.
“YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, sedang menjalani pemeriksaan serta prosedur yang ditetapkan oleh pasukan pakar perubatan.
“Beliau dijangka berada di bawah pemantauan selama dua hari,” menurut kenyataan itu.
Bagaimanapun, kenyataan berkenaan tidak memperincikan lokasi pemeriksaan mahupun jenis prosedur yang sedang dijalani oleh Perdana Menteri.
Tunku Nashrul turut mengajak rakyat Malaysia mendoakan agar segala urusan pemeriksaan serta prosedur yang dijalani Anwar dipermudahkan.
“Marilah kita mendoakan agar segala urusan pemeriksaan serta prosedur Perdana Menteri dipermudahkan dan dikurniakan keafiatan yang berpanjangan agar dapat kembali menjalankan tugas seperti biasa dalam masa terdekat, Insya-Allah,” katanya.
Anwar dijangka kembali menjalankan tugas rasmi selepas tamat tempoh pemantauan yang ditetapkan oleh pasukan perubatan.