Skip to main content

Malaysia

Hospital Kapar dijangka mula beroperasi Jun 2027 secara berperingkat – Dr Dzulkefly

Dr Dzulkefly bercakap pada sidang media selepas lawatan kerja ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) pada Rabu. -Foto Astro AWANI/SHAHIR OMAR
Dr Dzulkefly bercakap pada sidang media selepas lawatan kerja ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) pada Rabu. -Foto Astro AWANI/SHAHIR OMAR

Ringkasan AI

  • Hospital Kapar dijangka mula beroperasi secara berperingkat seawal Jun 2027 bagi mengurangkan kesesakan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR).
  • Pembinaan hospital berkapasiti 312 katil dan 17 bidang kepakaran itu kini mencapai kemajuan fizikal 96.26 peratus tanpa sebarang kelewatan.
  • Hospital ini akan memperkukuh perkhidmatan rawatan pakar, termasuk kemudahan penyakit berjangkit, serta memastikan persediaan sumber manusia mencukupi sebelum operasi bermula.
Advertisement

KLANG: Hospital Kapar yang dibangunkan bagi membantu mengurangkan kesesakan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) dijangka mula beroperasi seawal Jun 2027 secara berperingkat.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata hospital berkapasiti 312 katil dan dilengkapi 17 bidang kepakaran itu kini berada pada peringkat akhir pembinaan.

Beliau berkata projek berkenaan mencatat kemajuan fizikal sebanyak 96.26 peratus, manakala kemajuan kewangan mencapai 85.07 peratus.

Advertisement

“Hospital ini yang mempunyai 312 katil dan 17 bidang kepakaran bakal siap. Kemajuan fizikalnya setakat ini ialah 96.26 peratus mengikut jadual tanpa sebarang kelewatan.

“Hospital ini dijangka mula beroperasi seawal Jun 2027 secara berperingkat dan berfasa,” katanya.

Advertisement

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), di sini, pada Rabu.

Dr Dzulkefly berkata pembangunan Hospital Kapar merupakan antara langkah jangka panjang Kementerian Kesihatan (KKM) bagi membantu mengurangkan beban kesesakan di HTAR, khususnya menerusi penambahan kapasiti katil dan kemudahan kepakaran perubatan.

Hospital berkenaan turut dilengkapi kemudahan khusus bagi menangani penyakit berjangkit sekali gus memperkukuh kapasiti perkhidmatan rawatan pakar di kawasan berkenaan.

Beliau berkata persediaan sumber manusia turut diberi perhatian bagi memastikan hospital berkenaan mempunyai tenaga kerja mencukupi sebelum memulakan operasi.

Menurut beliau, perancangan itu sedang diteliti bersama bahagian berkaitan di kementerian bagi memastikan kesiapsiagaan hospital dapat dilaksanakan mengikut fasa operasi yang ditetapkan.

Beliau berkata KKM akan terus memberi komitmen terhadap setiap pelaburan fasiliti kesihatan bagi memastikan kemudahan baharu itu dapat menawarkan pengalaman rawatan yang lebih baik kepada pesakit.

Pembinaan Hospital Kapar merupakan antara usaha jangka panjang KKM untuk memperkukuh kapasiti perkhidmatan kesihatan di Selangor, khususnya bagi membantu mengurangkan tekanan terhadap HTAR yang menerima jumlah pesakit tinggi.

Dengan kapasiti 312 katil dan 17 bidang kepakaran, hospital berkenaan dijangka memperluas akses masyarakat kepada perkhidmatan rawatan pakar serta meningkatkan keupayaan sistem kesihatan di kawasan Klang dan sekitarnya.

Must Watch Video

Advertisement