KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim memfailkan saman terhadap Ahli Parlimen Pendang Datuk Awang Solahuddin Hashim berhubung kenyataan berbaur fitnah terhadap Perdana Menteri itu di lobi Parlimen.

Peguam Datuk S.N. Nair, yang mewakili Anwar, ketika dihubungi Bernama berkata saman itu difailkan pada 12.06 tengah hari tadi.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, Anwar mendakwa defendan membuat beberapa kenyataan yang merujuk kepadanya di lobi Dewan Rakyat, bangunan Parlimen di sini, semasa Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen Ke-15, pada 21 Feb lepas.

Beliau berkata kenyataan tersebut telah diterbitkan semula atau menyebabkan penerbitan semula oleh defendan kepada pemberita, yang terakam dalam bentuk audio dan video.

"Pada 21 Feb 2023, kenyataan fitnah daripada audio dan video tersebut telah diterbitkan semula atau menyebabkan penerbitan semula oleh defendan di aplikasi TikTok melalui akaun di bawah nama "@asriasri64chanel".

"Video yang diterbitkan dalam akaun TikTok itu telah mendapat tontonan melebihi 21,700 kali, 348 komen, melebihi 180 butang 'like', melebihi 22 butang 'favourite', dan 55 kali perkongsian setakat tarikh pemfailan tindakan ini," menurut Anwar dalam pernyataan tuntutan itu.

Ahli Parlimen Tambun itu berkata pada hari sama (21 Feb) portal MalaysiaKini menerbitkan semula sebahagian kenyataan fitnah daripada audio dan video tersebut menerusi dua artikel bertajuk 'MP PAS: Sikap pendendam Anwar lebih teruk daripada Mahathir' manakala dalam versi Bahasa Inggeris, bertajuk "Why no LCS charges, MP asks 'more vindictive than Mahathir' PM'.

Menurut Anwar, kenyataan fitnah itu antaranya membawa maksud beliau mempunyai sifat pendendam serta membalas dendam, telah menyalah guna kuasa sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dengan mencampuri, mengganggu serta sewenang-wenangnya mengarahkan agensi penguatkuasaan undang-undang dan pendakwaan di Malaysia untuk agenda politik peribadi.

Beliau mendakwa Awang Solahuddin sengaja dan berniat jahat mengucap serta menerbitkan kenyataan fitnah itu untuk menghasut orang ramai serta menimbulkan kebencian peribadi terhadap plaintif yang kini ketua Kerajaan Perpaduan yang sah dan komited untuk membasmi segala bentuk rasuah.

"Kenyataan fitnah itu memusnahkan reputasi saya sebagai pemimpin yang dihormati di Malaysia serta di peringkat antarabangsa. Penerbitan dan penerbitan semula kenyataan memfitnah itu adalah objektif defendan bagi mendapatkan publisiti murah untuk kepentingan peribadi dan politiknya," kata Anwar.

Anwar menuntut Awang Solahuddin antaranya ganti rugi am, teruk, teladan, ganti rugi pampasan selain perintah injunksi untuk menghalang defendan, ejen, atau wakilnya daripada terus menerbitkan atau mengedarkan kenyataan fitnah serupa.

-- BERNAMA