PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) kini memberi tumpuan kepada latihan penjaga sebagai antara langkah awal memperkukuh ekosistem penjagaan negara sebelum usaha menggubal Rang Undang-Undang (RUU) Perlindungan Warga Emas diteruskan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata kerajaan telah mendapat kelulusan dasar untuk membentangkan RUU tersebut yang dijangka dibawa ke Parlimen tahun depan selepas proses libat urus dengan pihak berkepentingan selesai.
Semalam, beliau dilaporkan berkata RUU Perlindungan Warga Emas disasarkan untuk dibentangkan di Parlimen pada sesi kedua tahun depan, selepas mendapat kelulusan dasar Jemaah Menteri.
Mengenai Kertas Putih persiapan Malaysia menuju negara tua yang dijangka dibentangkan Kementerian Ekonomi di Dewan Rakyat pada 2 Dis ini, Nancy berkata KPWKM mempunyai tanggungjawab yang lebih khusus dalam aspek penjagaan serta urusan berkaitan permit bagi penyediaan perkhidmatan penjagaan.
“Jadi mereka (Kementerian Ekonomi) lebih bertanggungjawab terhadap framework semua itu.. kami lebih kepada penjagaan dan juga lebih kepada permit untuk mereka mendapatkan penjagaan tersebut,” katanya kepada media selepas menjadi seorang daripada panel di Festival of Ideas (FOI) Sidang Idea Malaysia: Idea Negara Makmur di sini hari ini.
Semalam, Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata Kertas Putih mengenai persiapan Malaysia menuju negara tua dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat pada 2 Dis ini.
Beliau berkata Malaysia telah memasuki status negara menua pada 2021 dan dijangka menjadi negara tua pada 2048 sebelum mencapai tahap negara super aged pada 2060.
Dalam pada itu, Nancy berkata kerajaan menyasarkan untuk melatih dan menyediakan 50,000 penjaga menjelang 2030, dengan 2,000 penjaga disasarkan dilatih tahun ini.
“Ramai yang bertanya mengenai penjagaan ini dan kita memang ada perancangan supaya pada 2030 kita akan mencapai, insya-Allah, 50,000 penjaga,” katanya.
Beliau berkata usaha memperkukuh kapasiti penjaga itu merupakan sebahagian daripada perancangan kerajaan untuk mewujudkan sebuah caring nation yang tidak mengabaikan warga emas, khususnya ibu bapa dan anggota keluarga yang memerlukan penjagaan.
“Kita mahu melihat semua masyarakat kita tidak mengabaikan, terutama sekali ibu bapa yang ada bersama kita.
“Kita mahu mereka menyerapkan nilai-nilai penjagaan yang baik terhadap keluarga mereka, menyerapkan nilai-nilai murni untuk menjadi anak-anak ataupun keluarga yang caring kepada keluarga yang mereka jaga,” katanya.
FOI Putrajaya 2026 yang berlangsung selama tiga hari bermula 17 Nov menampilkan 20 pengisian utama merentasi tujuh zon, termasuk 16 sesi perbincangan membabitkan 72 tokoh, ahli panel dan pembentang tempatan serta antarabangsa.
Festival itu turut disertai delegasi antarabangsa dari Filipina, Timor-Leste, Indonesia, Türkiye dan Kazakhstan bagi memperkukuh pertukaran ilmu serta kerjasama serantau.
-- BERNAMA