KUALA LUMPUR: Perdana Menteri,Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau akan menyemak perincian Belanjawan MADANI bagi membantu memastikan tahap penyampaian yang terbaik.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata ia juga bertujuan memastikan permasalahan rakyat disantuni dengan cekap dan adil.

"Langkah ini penting bagi memastikan manfaatnya sampai kepada rakyat serta golongan masyarakat yang disasarkan kerajaan," katanya dalam catatan di Facebooknya, hari ini.

Menurut catatan itu, Anwar berkata demikian semasa pertemuan bersama Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) pada jamuan tengah hari sambil berbicara ringkas mengenai kepentingan untuk Ahli Parlimen memainkan peranan mereka dengan berkesan.

Belanjawan 2023, yang dibentangkan Anwar pada 24 Feb lepas, memperuntuk sejumlah RM388.1 bilion dengan RM289.1 bilion untuk belanja mengurus dan RM99 bilion untuk belanja pembangunan termasuk RM2 bilion simpanan luar jangka.

Pada 9 Mac, Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 yang merupakan belanjawan pertama di bawah kepimpinan Anwar, diluluskan di peringkat dasar di Dewan Rakyat.

-- BERNAMA