MANILA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di sini hari ini untuk lawatan rasmi selama dua hari ke Republik Filipina.

Anwar diiringi isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk lawatan rasmi kelimanya ke negara ASEAN sejak dilantik sebagai perdana menteri akhir tahun lepas.

Pesawat khas yang membawa perdana menteri dan isteri, mendarat di Pangkalan Udara Villamor pada 12.50 tengah hari.

Sebaik tiba di pangkalan udara itu, beliau disambut oleh Setiausaha Kebajikan Sosial dan Pembangunan Filipina Rexlon Gatchalian, selaku menteri pengiring.

Kemudian lagu kebangsaan Malaysia 'Negaraku' dimainkan, diikuti lagu kebangsaan Filipina 'Lupang Hinirang' (Tanah Terpilih).

Turut hadir Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri Datuk Seri Amran Mohamed Zin dan Duta Besar Malaysia ke Filipina Datuk Abdul Malik Melvin Castelino Anthony.

Pada sebelah petang, Anwar dijadual melakukan kunjungan hormat ke atas Presiden Ferdinand R. Marcos Jr di Istana Malacanang dan akan diberikan sambutan negara, diikuti mesyuarat dua hala antara delegasi kedua-dua negara.

Kedua-dua pemimpin juga akan mengadakan sidang media bersama selepas mesyuarat itu.

Esok perdana menteri dijadual menyampaikan syarahan umum bertajuk '30 Tahun Selepas Gelombang Kebangkitan Asia: Pengajaran Strategik Buat ASEAN' di Universiti Filipina yang ditubuhkan pada 1908.

Beliau juga akan menerima anugerah Ijazah Doktor Kehormat daripada senat universiti itu serta mengadakan pertemuan dengan diaspora Malaysia di Filipina.

Perdana Menteri dijangka berlepas pulang ke tanah air pada sebelah petang.

-- BERNAMA