KUALA LUMPUR: Hanya berbaki beberapa jam sebelum Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dijadualkan bermesyuarat pada malam Rabu.

Persoalan besar adakah sebarang keputusan penting akan dibuat menerusi mesyuarat itu seperti didakwa sebelum ini yang dikatakan antara lain bakal membincangkan berhubung kerjasama UMNO dengan Kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Sebelum ini Astro AWANI melaporkan menurut sumber dalaman UMNO, mesyuarat yang akan diadakan secara maya itu dijangka memberi tumpuan kepada usaha-usaha membawa keluar UMNO dari kerjasama bersama PN bagi membolehkan sebuah kerajaan baharu dibentuk.

Turut dilaporkan, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah mengadakan pertemuan dengan Ahli MKT UMNO bagi mendapatkan sokongan untuk keluar dari kerajaan sedia ada.

BACA: Keluar atau kekal dalam kerajaan? MT UMNO bersidang secara maya esok - Sumber

BACA: Ismail Sabri dilantik TPM, Hishammuddin Menteri Kanan Luar Negeri - PMO

Presiden UMNO | MKT UMNO perlu gantung tugas Ahmad Zahid


Bagaimanapun, beberapa jam sebelum mesyuarat, pelantikan jawatan Timbalan Perdana Menteri telah diumumkan dan diberikan kepada Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Malah Ketua UMNO Bahagian Sembrong, Datuk Seri Hishamuddin Hussein yang juga Menteri Luar turut dilantik sebagai Menteri Kanan Luar Negeri berkuatkuasa serta merta.

BACA: UMNO tidak lobi, MKT telah putus tidak terima jawatan TPM sebelum ini - Asyraf Wajdi

Pada masa sama, Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Asyraf Wajidi Dusuki dalam satu entri di laman Facebook menegaskan bahawa MKT UMNO telah memutuskan untuk tidak menerima jawatan TPM.

"Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO telah putuskan untuk tidak terima jawatan TPM jauh sekali untuk melobi.

"Lagipun daripada melobi jawatan TPM, lebih baik melobi (jawatan) Perdana Menteri untuk tambah baik bantuan rakyat termasuk moratorium tanpa faedah, i-Citra, segerakan dan tambah lagi bantuan tunai BPR, BPN, BKC," jelasnya.

Politik | MT UMNO perlu lihat kepentingan rakyat melebihi parti - Penganalisis


Malah turut ditegaskan tindakan menutup kilang-kilang bukan perkhidmatan perlu.

"Tutup juga kilang-kilang perkhidmatan tidak perlu kalau betul total lockdown, bukan hanya kurung rakyat. Rakyat terdesak perlu bantuan bukan jawatan Timbalan Perdana Menteri," katanya lagi.

BACA: Mesyuarat MKT UMNO: Ahmad Zahid perlu berjiwa besar, letak jawatan demi parti - Zahidi

Ahli Parlimen Padang Besar yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Zahidi Zainul Abidin ketika dihubungi Astro AWANI pula mencadangkan agar Presiden parti itu, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk berundur dari jawatan berkenaan.

"Zahid mencadangkan Ahli Parlimen UMNO, Menteri, Timbalan Menteri letak jawatan dan tarik sokongan daripada kerajaan.

"Jadi kita berbincang bersama Ahli Parlimen UMNO, kita letak jawatan parti untung ke, Zahid letak jawatan parti untung?.

"Kalau kita letak jawatan pertama sekali kita peruntukan tiada, pegawai-pegawai kita lantik berhenti kerja, kita kena menghadapi PRU-15 sebagai pembangkang, UMNO tidak pernah menghadapi PRU sebagai pembangkang, tidak pernah," katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Rabu.

Malah beliau mendakwa cadangan itu dipersetujui lebih 30 Ahli Parlimen UMNO dalam satu mesyuarat diadakan di Wisma Pahlawan baru-baru ini. 

Apa sahaja hasil mesyuarat nanti, pastinya ia menjadi tumpuan pelbagai pihak terutamanya daripada pemerhati politik dan jutaan ahli parti politik terbesar Melayu itu sendiri.

Astro AWANI akan memberikan perkembangan terkini berhubung mesyuarat MKT UMNO yang dijadualkan malam ini.