SHAH ALAM: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor menahan sebuah bot kerana membawa lebihan penumpang di kedudukan 0.15 batu nautika tenggara Sungai Lima, Pulau Ketam dekat sini, pada 6.15 petang semalam.


Ringkasan AI
  • APMM Selangor menahan sebuah bot penumpang yang membawa lebihan muatan, dengan 78 individu di atasnya, ketika melakukan rondaan di perairan Selangor.
  • Bot tersebut juga didapati melanggar syarat sah lesen, termasuk tamat tempoh lesen dan insurans serta pengubahsuaian yang tidak mematuhi peraturan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952.
  • Pihak berkuasa menyeru komuniti maritim agar lebih peka terhadap peraturan lesen, dengan tindakan tegas bakal diambil terhadap mereka yang gagal mematuhi peraturan keselamatan.


Pengarah Maritim Selangor Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata bot penumpang yang sarat dengan 78 individu itu ditahan ketika APMM sedang melaksanakan rutin rondaan dan operasi khas Mardof di perairan Selangor semalam.

"Hasil pemeriksaan awal ke atas bot itu mendapati terdapat dua lelaki tempatan masing-masing berusia 60 tahun yang bertindak selaku nakhoda bot dan kru berusia 18 tahun.

"Bot itu turut melakukan pelbagai kesalahan lain mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO 1952) kerana melanggar syarat sah lesen, iaitu lesen dan insurans telah tamat tempoh serta melakukan pengubahsuaian yang jelas melanggar syarat tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Muhaimin berkata bot dan nakhoda dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat APMM Selangor untuk tindakan lanjut manakala kes tersebut disiasat mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952.

Sehubungan itu, beliau meminta komuniti maritim untuk sentiasa lebih peka dengan syarat lesen yang telah ditetapkan dan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mereka yang gagal mematuhi syarat sah lesen.

-- BERNAMA