Skip to main content
Advertisement

Malaysia

APMM tahan bot kargo bersama kru warga Indonesia di Kuala Sepetang

Sumber: MARITIM KUALA KURAU
- Foto Maritim Kuala Kurau
Advertisement

IPOH: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan sebuah bot kargo kayu bakau bersama tiga kru warga Indonesia kerana disyaki melanggar Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 dan Akta Imigresen 1959/63 di perairan Kuala Sepetang, Rabu lepas.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau Komander Maritim Mohd Hairil Othman berkata bot tersebut ditahan kira-kira 2.50 petang pada kedudukan 0.05 batu nautika ke barat muara Kuala Sepetang.

“Hasil pemeriksaan mendapati bot berkenaan gagal mempamerkan lesen bot dan polisi insurans seperti yang diperuntukkan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.

“Pemeriksaan terhadap ketiga-tiga kru warga Indonesia berumur 26 hingga 48 tahun itu pula mendapati mereka gagal mengemukakan permit kerja selain disyaki menyalahgunakan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata semua kru berusia antara 26 hingga 48 tahun diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut selain satu laporan polis turut dibuat di Balai Polis Kuala Sepetang.

Pemilik dan pengusaha vesel turut diingatkan memastikan dokumen vesel, perlindungan insurans serta dokumen penggajian kru sentiasa lengkap, sah dan dikemas kini bagi mengelakkan tindakan penguatkuasaan.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement