APPLE Inc. kini megambil langkah untuk menjual produk terbaharunya Apple Watch di rangkaian kedai elektronik terkemuka di Amerika Syarikat Best Buy bermula 7 Ogos.

Best Buy merupakan peruncit yang pertama untuk jual produk itu yang sebelum ini hanya dijual di kedai milik Apple.

Pada mulanya, Best Buy akan jual Apple Watch dan Apple Watch Sport di lebih dari 100 rangkaian kedainya.

Harga sebuah Apple Watch bermula dari AS$349 (RM1330.77).

Namun ia tidak akan menjual Apple Watch Edition yang merupakan koleksi yang lebih eksklusif dengan harga bermula dari AS$10,000 (RM38,130.98).

Apple Watch dilancarkan pada April bagi mereka yang membuat tempahan pembelian dalam talian. Ia mula diedarkan di kedai-kedai Apple pada Jun.

Media dan blog antarabangsa melaporkan langkah Apple Inc. untuk menjual produk Apple Watch di Best Buy merupakan strategi yang berbeza yang diambil syarikat itu.

Ini kerana Apple Watch sebelum ini sering dipasarkan sebagai produk mewah dan ditampilkan di dalam majalah fesyen terkemuka seperti muka depan Vogue China pada November 2014.