Skip to main content

Malaysia

Tindakan henti pembayaran KWDA boleh jejas operasi keselamatan pelayaran - Hasbi

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah menjawab bagi Usul Laporan Ketua Audit Negara 2/2026 Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan Tahun 2025 sempena Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima, Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto BERNAMA
Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah menjawab bagi Usul Laporan Ketua Audit Negara 2/2026 Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan Tahun 2025 sempena Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima, Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto BERNAMA

Advertisement

KUALA LUMPUR: Implikasi operasi terutamanya pengurusan keselamatan pelayaran di Selat Melaka perlu diambil kira sekiranya pembayaran elaun dan kemudahan oleh Kumpulan Wang Dius Api (KWDA) dihentikan secara berpanjangan, kata Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah.

Beliau berkata ia boleh menjejaskan kelangsungan operasi kritikal seperti Sistem Trafik Kapal (VTS), Sistem Maklumat Pengurusan Trafik Kapal (VTMIS) serta Pusat Koordinasi Penyelamat Maritim (PUSKAU) dan Pusat Operasi Maritim (PUSKOM) yang beroperasi secara syif 24 jam.

"Ia turut merangkumi pengurusan keselamatan pelayaran serta penyelenggaraan alat bantuan pelayaran di Selat Melaka yang dilalui oleh lebih 100,000 kapal," katanya ketika menggulung perbahasan usul Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2026 bagi kementeriannya di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut LKAN 2/2026, sebanyak RM2.55 juta daripada KWDA dan Kumpulan Wang Pusat Perdagangan Laut (KWPPL) dibelanjakan bagi pembayaran elaun serta kemudahan pada 2025 tanpa punca kuasa yang sah.

Daripada jumlah itu, RM2.31 juta melibatkan dana KWDA yang dibayar sebagai elaun dan kemudahan kepada Lembaga KWDA serta pegawai Jabatan Laut Malaysia (JLM).

Sehubungan itu, Jabatan Audit Negara (JAN) mengesyorkan pembayaran elaun dan kemudahan daripada kedua-dua akaun amanah tersebut dihentikan serta-merta sehingga tafsiran perundangan dan tatacara kewangan dimuktamadkan.

Hasbi berkata pemberhentian pembayaran berkenaan juga boleh menjejaskan pelaksanaan projek strategik seperti projek pengukuhan atau pembinaan semula Tanda Arah Suar Tompok Utara, yang menyaksikan Lembaga Dius Api (LDA) bersetuju menyalurkan dana RM23.5 juta kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Dari sudut perundangan, katanya, walaupun Akta Dius Api Persekutuan 1953 (Akta 250) tidak memperuntukkan secara nyata perihal pembayaran elaun kepada Pengerusi dan Ahli Lembaga Dius Api, namun wujud asas untuk mempertimbangkan perbelanjaan yang berkaitan secara langsung dengan fungsi statutori lembaga.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh ketika menggulung perbahasan usul LKAN bagi kementeriannya memaklumkan tindakan tegas berhubung isu kutipan semula tunggakan Wang Pendahuluan Kontraktor (WPK) telah diambil, termasuk ke peringkat penasihat undang-undang.

Mengenai perincian tindakan, Wong berkata KPM telah mengemukakan borang bukti hutang kepada Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) bagi 10 daripada 11 syarikat digulung yang melibatkan nilai RM20.79 juta.

Bagi dua syarikat aktif dengan tunggakan RM5.43 juta, katanya, notis penamatan kontrak telah dikeluarkan dan bakal berdepan tindakan sivil atau Surat Tuntutan (LOD) sekiranya wujud pelanggaran terma.

JAN dalam LKAN 2/2026 memaklumkan sebanyak RM68.81 juta baki akaun belum terima WPK bagi lima kementerian masih belum dikutip setakat 31 Dis lepas, membabitkan 24 projek KPM, Kementerian Pengangkutan, Kementerian Pertahanan, Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Kerja Raya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement