SHAH ALAM: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menegaskan bahawa arah kiblat masjid dan surau sedia ada di negeri itu telah disemak dan diperakukan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor serta tidak perlu diragui.

Pengerusi MAIS Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dalam kenyataan hari ini berkata badan itu turut mewajibkan agar penentuan arah kiblat oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor dilaksanakan terlebih dahulu sebelum sesuatu masjid, surau atau musolla yang baharu mula beroperasi.

Beliau berkata Jabatan Mufti negeri itu juga sentiasa memberikan pencerahan dan hebahan dari semasa ke semasa berhubung kaedah penetapan arah kiblat kepada masyarakat melalui laman web serta media sosial atau program pencerahan yang dilaksanakan jabatan itu.

"Penentuan arah kiblat yang dilaksanakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor juga selaras dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia berhubung Had Berpaling Yang Dibenarkan Daripada Arah Qiblat.

"Isu berhubung penentuan arah kiblat ini juga mendapat perhatian serius Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang tidak mahu mana-mana pihak termasuk media membuat laporan kurang tepat yang boleh menyebabkan kekeliruan dalam masyarakat dan mencalarkan imej Islam," katanya.

Abdul Aziz berkata demikian susulan laporan Berita Harian bertarikh 24 April lepas yang menyatakan '40 peratus arah kiblat Lembah Klang tersasar', berdasarkan pernyataan daripada Persatuan Ahli Falak Negeri Selangor (PAFNS).

Katanya tajuk laporan akhbar tersebut adalah kurang tepat dan tidak menggambarkan perkara sebenar serta menimbulkan salah faham dan kekeliruan dalam kalangan umat Islam khususnya di Selangor, dan MAIS telah meminta penjelasan berhubung perkara tersebut daripada pihak PAFNS.

"MAIS menegaskan laporan akhbar tersebut hanya merujuk kepada penentuan arah kiblat rumah kediaman sahaja, berdasarkan permohonan khidmat penentuan arah kiblat bagi rumah kediaman yang diterima oleh PAFNS.

"Laporan tersebut sama sekali tidak berkaitan dengan penentuan arah kiblat masjid dan surau di Selangor," katanya.

Beliau berkata MAIS juga menasihatkan orang ramai supaya tidak panik dan keliru dengan tajuk yang dipaparkan dalam laporan akhbar tersebut dan diingatkan agar merujuk terus kepada pihak MAIS berhubung pengesahan sesuatu perkara berkaitan pentadbiran agama Islam.

-- BERNAMA